Skip to main content

Malaysia

JPJ laksana langkah penjimatan tenaga serta-merta selaras arahan kerajaan

SHAH ALAM, 13 Mac -- Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli bercakap ketika sidang media sempena Operasi Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026 dan Speed Limiter Device (SLD) di Terminal Bas Seksyen 17, Shah Alam malam ini.  -- fotoBERNAMA (2026)
Aedy Fadly berkata JPJ turut mengurangkan penggunaan lampu sehingga 50 peratus di ruang pejabat yang tidak melibatkan kaunter perkhidmatan awam. - Gambar fail/Bernama

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan langkah penjimatan tenaga secara serta-merta di semua pejabat di seluruh negara selaras dengan arahan kerajaan untuk mengawal penggunaan tenaga di bangunan kerajaan.

Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah meningkatkan suhu penyaman udara bagi mengurangkan penggunaan tenaga elektrik serta membenarkan pemakaian baju korporat atau batik sepanjang waktu bekerja. 

Advertisement

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata JPJ turut mengurangkan penggunaan lampu sehingga 50 peratus di ruang pejabat yang tidak melibatkan kaunter perkhidmatan awam.

“JPJ menyambut baik usaha kerajaan untuk menjimatkan tenaga, menjimatkan kewangan kerajaan. 

“Jadi JPJ menjadi yang pertama untuk menyambut saranan dan juga arahan kerajaan itu dan kita melaksanakan tindakan serta-merta,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan setia JPJ, di sini, hari ini.

Aedy Fadly berkata JPJ terus mempergiat usaha pendigitalan perkhidmatan dengan menggalakkan orang awam untuk melaksanakan urusan secara dalam talian melalui aplikasi MyJPJ dan portal rasmi JPJ bagi transaksi yang tidak memerlukan kehadiran ke kaunter. 

“Langkah ini dapat menjimatkan kos perjalanan orang ramai ke kaunter JPJ. Pendekatan ini bukan sahaja menyokong agenda penjimatan tenaga negara, malah memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih pantas, mudah dan mesra rakyat.

Mengenai pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) beliau berkata perincian lanjut pelaksanaannya bagi warga JPJ akan diumumkan dalam masa terdekat.

“JPJ komited untuk terus memainkan peranan proaktif dalam menyokong dasar kerajaan serta memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan yang cekap, berintegriti dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran semasa,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kawalan penggunaan tenaga di bangunan kerajaan akan diperketatkan termasuk menetapkan suhu penyaman udara pada minimum 24 darjah Celsius berikutan krisis tenaga global.

Sebelum itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi mesej video mengumumkan pelaksanaan dasar BDR bagi sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula 15 April depan sebagai langkah proaktif dalam mendepani krisis tersebut.

-- BERNAMA

Must Watch Video