MALAYSIA

JPJ lakukan 573 tangkapan kegiatan 'ulat', kutipan denda lebih RM2 juta bagi 2023-2025

Bernama 22/01/2026 | 10:30 MYT
Muhammad Kifli berkata, JPJ akan terus laksanakan operasi membendung kegiatan yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram di pintu masuk negara. - Bernama
SEPANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah melakukan 573 tangkapan berkaitan kegiatan "ulat" di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2, dengan kutipan denda berjumlah lebih RM2 juta bagi tempoh 2023 hingga 2025.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata JPJ memandang serius kegiatan haram itu dan akan meneruskan Ops Ulat bagi membendung kegiatan yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram di pintu masuk negara.

"(Kegiatan) "Ulat" ini menawarkan perkhidmatan kereta sewa kepada orang awam yang tiba di balai ketibaan dengan mengenakan caj penghantaran tinggi antara RM80 hingga RM150 ke Kuala Lumpur dan sekitarnya berbanding teksi biasa atau Limo antara RM65 hingga RM80 sahaja," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata JPJ akan mengenakan tindakan tegas terhadap individu yang menjalankan kegiatan "ulat" termasuk lucut hak kenderaan terhadap pesalah kali kedua dan seterusnya.

"Kami telah berjaya mengambil tindakan (lucut hak) yang pertama pada tahun lepas. Mulai tahun ini, mana-mana kereta ditahan atas aktiviti mengulat untuk kali kedua dan seterusnya, kami akan kenakan tindakan pelucutan hak," katanya.

Sementara itu, Muhammad Kifli berkata kegiatan kereta "ulat" ini popular dan berleluasa di KLIA Terminal 1 dan 2 kerana dipercayai mampu menjana pendapatan lumayan antara RM500 hingga RM1,000 sehari.

"Berdasarkan siasatan, satu hari mereka boleh dapat antara RM500 hingga RM1,000. Jadi kalau katakan mereka buat aktiviti mengulat ni berterusan 20 hari dalam sebulan, mereka boleh menampung denda mahkamah," katanya.

Beliau berkata JPJ memandang serius kegiatan bersifat pentingkan diri dengan mengaut keuntungan secara haram, dan hari ini, pihaknya telah menahan tiga warga tempatan kerana menjalankan aktiviti ulat di KLIA Terminal 1.

"Aktiviti ini juga merupakan gejala negatif yang boleh merosakkan imej negara dan mendatangkan implikasi kepada ekonomi terutamanya dalam sektor pelancongan dan pengangkutan awam," katanya.

Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, yang memperuntukkan denda hingga RM50,000 atau dipenjarakan maksimum lima tahu atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kenderaan juga boleh disita dan dilucut hak di bawah Seksyen 227 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

-- BERNAMA

#ulat #pintu masuk negara #kereta sewa #JPJ #Ops Ulat #tangkapan #denda