KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalin kerjasama strategik dengan MONSTA bagi memperkasakan penyampaian mesej keselamatan jalan raya menerusi pendekatan animasi dan kandungan digital yang kreatif, dekat serta relevan dengan masyarakat.
Fifi, maskot rasmi JPJ, membuat kemunculan sulung pada perarakan sambutan Hari Kebangsaan bersama-sama Mechamato, watak animasi popular terbitan MONSTA.
Penampilan istimewa itu memperkenalkan Fifi secara rasmi kepada masyarakat sambil membawa semangat patriotisme dan aspirasi Malaysia untuk membina masa depan yang lebih selamat dan progresif.
JPJ dalam kenyataan memaklumkan pemilihan sambutan Hari Kebangsaan sebagai platform kemunculan sulung Fifi mencerminkan aspirasi untuk memperkenalkan karakter tempatan baharu yang dekat dengan generasi muda sambil meraikan identiti, perpaduan dan semangat kebangsaan.
“Penampilan Fifi bersama-sama Mechamato pula melambangkan kesinambungan kreativiti dan IP animasi tempatan, menghubungkan karakter yang telah dikenali masyarakat dengan generasi baharu dalam menyampaikan mesej positif dan inspirasi kepada rakyat Malaysia.
Pada masa yang sama, penggunaan watak animasi dan kandungan digital membolehkan mesej keselamatan jalan raya disampaikan dengan cara lebih mudah difahami, menarik dan dekat dengan masyarakat,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan kerjasama strategik bersama-sama MONSTA sebahagian daripada usaha JPJ untuk memperluas pendekatan komunikasi melalui medium yang lebih relevan dengan perkembangan semasa.
Sementara itu, MONSTA menyifatkan kerjasama itu sebagai peluang untuk memanfaatkan kekuatan animasi tempatan dalam menyokong usaha pendidikan dan inisiatif kempen keselamatan jalan raya.
MONSTA memaklumkan watak animasi mempunyai keupayaan untuk menyampaikan nilai positif dengan cara yang dekat dengan penonton.
“Melalui gandingan Fifi dan Mechamato, kami berharap mesej keselamatan jalan raya dapat disampaikan secara kreatif sambil membangkitkan semangat patriotisme serta keyakinan terhadap masa depan Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Kerjasama itu turut membuka ruang kepada pembangunan kandungan animasi dan digital yang menggabungkan elemen pendidikan, hiburan serta nilai kemasyarakatan, selaras dengan usaha JPJ dan MONSTA untuk menyampaikan mesej keselamatan jalan raya dengan pendekatan lebih kreatif serta relevan kepada masyarakat.
Dengan semangat Hari Kebangsaan sebagai inspirasi, JPJ dan MONSTA komited untuk terus memanfaatkan kreativiti dan kekuatan animasi tempatan dalam menyampaikan mesej keselamatan jalan raya kepada masyarakat.
-- BERNAMA