MALAYSIA

JPJ nafi iklan palsu lesen memandu percuma guna gambar KSU MOT

Bernama 08/11/2025 | 15:15 MYT
JPJ menggesa orang awam membuat semakan dengan jabatan berkenaan terlebih dahulu, sekiranya menerima tawaran mencurigakan membabitkan lesen memandu. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan penularan iklan palsu yang menawarkan lesen memandu percuma tanpa ujian dengan menggunakan gambar pegawai tertinggi kementerian dan jabatan termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan, di laman sosial TikTok.


Ringkasan AI
  • JPJ menafikan penularan iklan palsu menawarkan lesen memandu percuma tanpa ujian di TikTok, menggunakan gambar pegawai seperti Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan.
  • Iklan palsu tersebut bertujuan memperdaya orang ramai, dan JPJ menegaskan iklan serta akaun yang mempromosikan tawaran tersebut adalah palsu.
  • Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan iklan tidak sah, sementara JPJ menggesa orang awam membuat semakan dengan jabatan sebelum menerima tawaran mencurigakan berkaitan lesen memandu.


JPJ dalam kenyataan hari ini menegaskan iklan serta akaun yang mempromosikan tawaran tersebut adalah palsu dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan jabatan itu.

Menurut kenyataan itu tindakan pihak tidak bertanggungjawab menggunakan imej pegawai kanan kerajaan, bertujuan memperdaya orang ramai untuk mempercayai promosi berkenaan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpredaya dengan iklan atau akaun yang tidak sah bagi mengelakkan kekeliruan dan kerugian," menurut kenyataan itu.

JPJ turut menggesa orang awam membuat semakan dengan jabatan berkenaan terlebih dahulu, sekiranya menerima tawaran mencurigakan membabitkan lesen memandu.

Sebarang aduan rasmi boleh disalurkan menerusi Portal Aduan Rasmi JPJ di pautan https://jpj.spab.gov.my.

-- BERNAMA


#laman sosial #TikTok #JPJ #lesen memandu