JPJ Pahang siasat video interaksi penguat kuasa dengan pemandu lori

Tangkap layar rakaman video berdurasi 48 saat yang tular di laman sosial. - Gambar/ Sinar Harian/ Media sosial
KUANTAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang sedang menyiasat video tular yang memaparkan interaksi seorang penguat kuasa JPJ dengan seorang pemandu lori di kawasan Tol Lanchang pada Khamis.
Berdasarkan kenyataan dikeluarkan JPJ, insiden itu dirakam semasa pemeriksaan ke atas lori yang disyaki membawa muatan selain daripada yang disyaratkan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
Difahamkan pemandu berkenaan enggan memberikan kerjasama.
“JPJ Pahang komited memastikan penguatkuasaan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP).
"Siasatan insiden melibatkan penguat kuasa dijalankan secara telus dan bebas,” menurut kenyataan itu pada Ahad.
Kenyataan sama memaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh penguat kuasa JPJ Pahang berhubung kejadian berkenaan.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan dakwaan yang tidak berasas sehingga siasatan selesai," kata kenyataan itu lagi.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 48 saat di laman sosial yang menunjukkan pemeriksaan terhadap pemandu lori tersebut sedang dijalankan.
Dalam rakaman tersebut dilihat penguat kuasa dikatakan bertindak kasar dengan pemandu lori yang dipercayai sedang membuat panggilan telefon di lokasi terbabit. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


