MALAYSIA

JPJ perhebat operasi lebih muatan, periksa 1.2 juta kenderaan pada 2025

Bernama 08/01/2026 | 01:15 MYT
Aedy (dua,kiri) meninjau Operasi Khas Kenderaan Perdagangan Jabatan Pengangkutan Jalan Selangor di Kawasan Rehat dan Rawat Dengkil Arah Utara malam tadi. - Foto BERNAMA
DENGKIL: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mempertingkat tindakan penguatkuasaan secara menyeluruh di seluruh negara terhadap semua kenderaan perdagangan yang ingkar kepada peraturan dan undang-undang jalan raya menerusi Operasi Lebih Muatan tahun ini.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata sepanjang 2025, agensi itu telah memeriksa 1.2 juta kenderaan dengan 240,493 daripadanya telah diambil tindakan manakala 465 disita mengikut Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

Beliau berkata antara kesalahan tertinggi yang direkodkan pada 2025 ialah gagal mematuhi Notis Arahan Pemeriksaan Berkala, tiada Lesen Vokasional, tidak menyelenggara tayar dengan baik dan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL).

"Fokus operasi kali ini adalah terhadap kenderaan yang melanggar had muatan dibenarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan peraturan-peraturan berkaitan, penguatkuasaan teknikal serta pematuhan penggunaan Sistem Had Laju (SLD).

"Ia bertujuan memastikan kenderaan perdagangan beroperasi mengikut piawaian yang ditetapkan dan tidak membahayakan pengguna jalan raya," katanya.

Aedy Fadly berkata pelaksanaan Operasi Lebih Muatan turut disokong dengan Audit JISA (Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan dan JPJ) bagi menilai tahap pematuhan keselamatan, integriti operasi serta pengurusan risiko dalam kalangan pengusaha dan pemandu kenderaan perdagangan.

"JPJ menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang.

"Tindakan penguatkuasaan di bawah Operasi Lebih Muatan akan terus diperkasa secara berterusan demi keselamatan jalan raya, kesejahteraan orang awam dan kelestarian sistem pengangkutan negara," katanya.

Ditanya mengenai aspek pematuhan dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan, beliau berkata ia semakin meningkat susulan peningkatan operasi JPJ.

Operasi lebih tiga jam yang bermula pada 10 malam itu menyaksikan sebanyak 258 kenderaan telah diperiksa dengan 88 daripadanya dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu dan lebih muatan.

-- BERNAMA






#JPJ #kenderaan perdagangan #Aedy Fadly Ramli #Operasi Lebih Muatan