JPJ tahan 306 lori bawa muatan lebih

Bernama
Julai 23, 2020 20:18 MYT
Pengarah JPJ negeri Adenan Md Isa berkata dalam operasi menggunakan kaedah 'rentas sempadan' itu, pihaknya telah mengambil tindakan ke atas 306 lori yang membawa lebih muatan. Facebook / JPJ Pulau Pinang
Keluar seawal pukul 4.30 pagi untuk mengelak dikesan penguat kuasa dan menggunakan tonto untuk meloloskan diri, merupakan antara taktik digunakan beberapa syarikat pengangkutan yang menggunakan kenderaan perdagangan atau lori membawa lebih muatan.
Namun, mereka tetap tidak dapat mengelak daripada digempur Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam Ops Lebih Muatan yang dijalankan bermula dari 30 Jun hingga hari ini membabitkan 70 pegawai dan anggota agensi berkenaan.
Pengarah JPJ negeri Adenan Md Isa berkata dalam operasi menggunakan kaedah 'rentas sempadan' itu, pihaknya telah mengambil tindakan ke atas 306 lori yang membawa lebih muatan dan kebanyakannya ditahan di kawasan tapak pembinaan.
"Menerusi kaedah 'rentas sempadan' itu anggota penempatan asal ditukar dengan anggota di lokasi atau daerah lain agar pergerakan penguat kuasa tidak dapat dikesan terutama dalam kalangan tonto yang sentiasa mengekori penguat kuasa JPJ malah ada tonto yang menunggu di hadapan pejabat JPJ untuk memberi maklumat kepada pemandu lori.
Ada syarikat pengangkutan menggunakan khidmat tonto untuk mengintip pergerakan keluar kenderaan penguat kuasa dari pejabat kami. Maklumat tersebut disampaikan kepada lori supaya membatalkan penghantaran atau menukar haluan mereka," katanya kepada pemberita selepas operasi itu di Stesen Penguat Kuasa JPJ Penaga, di sini pada Khamis.
Adenan berkata dalam operasi itu pihaknya mengesan lori jenis 'pembuang' yang mengangkut bahan pembinaan seperti tanah, pasir dan batu paling banyak melakukan kesalahan lebih muatan untuk menyegerakan kerja-kerja pembinaan.
Katanya tindakan pemandu lori membawa muatan berlebihan itu bukan sahaja melanggar undang-undang malah boleh menyebabkan kemalangan, hilang kawalan ketika memandu, tayar lori pecah, muatan terjatuh dan halangan kepada kenderaan lain serta kesesakan lalu lintas.
"Semua 306 buah lori membawa lebih muatan itu disiasat mengikut Seksyen 57(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (2010) yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM500,000 atau penjara selama tidak melebihi setahun atau kedua-duanya," katanya.
Beliau berkata dalam operasi itu, pihaknya memeriksa sebanyak 1,210 buah kenderaan dan mengambil tindakan ke atas 946 buah kenderaan serta mengeluarkan 2,531 notis kerana pelbagai kesalahan lalu lintas.
-- BERNAMA
#Adenan Md Isa #Jabatan Pengangkutan Jalan #JPJ #lebih #Lori #muatan #Ops Lebih Muatan #tonto