Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

JPJ Terengganu keluar lebih 2,000 saman dalam Ops Lebih Muatan

Bernama 20/11/2025 | 14:00 MYT
Mohd Zamri berkata JPJ Terengganu dan JIM Terengganu juga sedang memantau pergerakan van dari negara jiran yang dilihat sering melanggar undang-undang jalan raya di negara ini. - Gambar fail/Bernama
KUALA NERUS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengeluarkan sebanyak 2,201 saman atas pelbagai kesalahan dalam Ops Lebih Muatan bermula 14 Okt hingga semalam.


Ringkasan AI
  • JPJ Terengganu keluarkan 2,201 saman dalam Ops Lebih Muatan untuk pelbagai kesalahan, termasuk notis dan penyerahan sebanyak 13 kenderaan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
  • Ops tersebut bertujuan memastikan pematuhan undang-undang serta mengurangkan kadar kemalangan jalan raya berpunca daripada kenderaan perdagangan, dilaksanakan selama 16 jam sehari dengan fokus pada kesalahan memandu di lorong kanan, memotong di garisan berkembar, dan masalah lesen kenderaan motor dan insurans tamat tempoh.
  • JPJ Terengganu dan JIM sedang pantau pergerakan van dari negara jiran yang melanggar undang-undang jalan raya di Malaysia, termasuk kes kenderaan klon yang melalui Lebuhraya Pantai Timur dari Kelantan ke Kuala Lumpur.


Pengarah JPJ Terengganu Mohd Zamri Samion berkata ia berdasarkan pemeriksaan terhadap 10,524 kenderaan pelbagai jenis termasuk kenderaan perdagangan, persendirian dan awam.

Beliau berkata sebanyak 2,253 notis turut dikeluarkan meliputi pelbagai kesalahan, manakala 13 kenderaan disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Ops Lebih Muatan atau Perang Lebih Muatan yang dilaksanakan bermula 14 Okt hingga 31 Dis depan mempunyai objektif khusus bagi memastikan pematuhan undang-undang serta mengurangkan kadar kemalangan jalan raya yang berpunca daripada kenderaan perdagangan.

"Ia dilaksanakan secara berterusan selama 16 jam sehari. Antara fokus aktiviti penguatkuasaan ialah bagi kesalahan memandu di lorong kanan secara berterusan, memotong di garisan berkembar, lesen kenderaan motor (LKM) dan insurans tamat tempoh serta kesalahan teknikal yang serius oleh kenderaan perdagangan," katanya selepas Ops Lebih Muatan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Zamri berkata JPJ Terengganu dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu juga sedang memantau pergerakan van dari negara jiran yang dilihat sering melanggar undang-undang jalan raya di negara ini.

Beliau berkata pihaknya juga mengesan terdapat kereta klon yang sudah lama tidak ditemui di negeri ini.

"Kami terima aduan daripada ibu pejabat JPJ memaklumkan ada beberapa van Thailand yang dilihat kerap memasuki kawasan Pantai Timur serta lakukan pelbagai kesalahan seperti memotong di garisan berkembar dan sebagainya.

"Oleh itu, fokus kami adalah untuk mengesan kenderaan itu menerusi kerjasama dengan pihak JIM. Difahamkan van-van itu melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dari Kelantan ke Kuala Lumpur," katanya.

-- BERNAMA


#Jabatan Imigresen Malaysia #JPJ #Ops Lebih Muatan #garisan berkembar