KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan meningkatkan bilangan pegawai penguji bagi menyelesaikan masalah ujian tertangguh di 232 Institusi Memandu (IM) di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Operasi JPJ Malaysia, Aedy Fadly Ramli berkata, jumlah tersebut melibatkan seramai 462,124 calon bagi pelbagai kelas kenderaan.

Menurut beliau dengan pertambahan bilangan penguji di antara 10 sehingga 20 peratus iaitu 530 pegawai dan dijangka dapat menyelesaikan masalah itu sebelum akhir tahun 2021.

"Kita akan cuba memastikan bahawa semua calon-calon ini mendapat pengujian dalam tempoh yang singkat.

"Jadi apa yang akan kita laksanakan, kita akan tambah penguji-penguji JPJ di semua IM dan dalam masa yang sama juga kita akan menambah jumlah kuota harian untuk penguji tersebut," katanya.

Tegas Aedy, pihaknya juga tidak akan kompromi berkaitan kualiti ujian itu sendiri.

Aedy berkata majoriti institut memandu beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

Dalam pada itu, melalui pemantauan yang dilakukan oleh Unit Naziran di Institut Memandu telah mengesan beberapa kesalahan yang dilakukan oleh pihak berkenaan termasuk menerima calon bukan warganegara, pemasangan cermin gelap pada kenderaan dan tidak mengemas kini senarai sijil kenderaan.