MALAYSIA

JPJ WPKL sita lima kenderaan perdagangan dalam Ops Perang Lebih Muatan

Bernama 14/11/2025 | 23:30 MYT
Fasa terbaharu Ops Perang Lebih Muatan memberikan tumpuan khusus kepada laluan serta kenderaan perdagangan yang dikenal pasti melalui risikan semasa, melibatkan sektor kuari, laluan ke pelabuhan dan industri berat. - Foto JPJ WPKL
KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) menyita lima kenderaan perdagangan dalam Ops Perang Lebih Muatan yang dijalankan dari 12 tengah malam hingga 9 pagi semalam di sekitar ibu negara.

Pengarah JPJ WPKL Hamidi Adam berkata operasi itu melibatkan pelbagai kesalahan antaranya melibatkan sebuah lori tipper dumper yang membawa muatan melebihi had hingga 88.07 peratus, sebuah treler melanggar syarat permit, manakala beberapa pemandu didapati memandu tanpa Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan lesen vokasional (GDL) yang sah termasuk seorang pemandu warga asing.

"Kesemua kenderaan tersebut disita mengikut peruntukan Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamidi berkata fasa terbaharu operasi itu ialah kesinambungan daripada Ops Perang Lebih Muatan sejak Oktober lepas dan memberikan tumpuan khusus kepada laluan serta kenderaan perdagangan yang dikenal pasti melalui risikan semasa, melibatkan sektor kuari, laluan ke pelabuhan dan industri berat.

Beliau berkata hingga kini, sebanyak 5,967 kenderaan perdagangan telah diperiksa dengan 939 daripadanya didapati melanggar undang-undang, melibatkan 2,398 saman atas pelbagai kesalahan termasuk membawa muatan berlebihan, kesalahan teknikal, lesen dan insurans tamat tempoh serta pemanduan tanpa lesen CDL atau vokasional yang sah.

Hamidi berkata sebanyak 14 buah kenderaan turut disita dan kesalahan melibatkan pemandu warga tempatan serta warga asing.

"Statistik terbaharu ini menunjukkan bahawa trend ketidakpatuhan masih pada tahap membimbangkan, sekali gus mengesahkan keperluan JPJ WPKL meneruskan operasi secara konsisten untuk membanteras budaya membawa muatan berlebihan," katanya.

- Foto JPJ WPKL


Beliau turut mengingatkan bahawa budaya "mengejar trip" bukanlah alasan untuk mengabaikan keselamatan dan tiada sebarang justifikasi operasi yang boleh menghalalkan tindakan membawa muatan berlebihan atau melanggar undang-undang sehingga mengancam nyawa pengguna jalan raya.

Hamidi berkata terdapat segelintir pemandu yang cuba mengelak pemeriksaan dengan memberikan alasan kerosakan atau enggan menimbang kenderaan dan tindakan itu boleh disiasat di bawah Akta 234(b) APAD 2010 yang membawa hukuman denda hingga RM200,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Selain Ops Perang Lebih Muatan, Hamidi berkata pihaknya turut meneruskan Ops Luxury yang menyasarkan pematuhan Lesen Kenderaan Motor (LKM), insurans, lesen memandu serta aspek teknikal melibatkan kenderaan mewah.

"Minggu ini, beberapa kenderaan mewah seperti sebuah Lamborghini Aventador dan sebuah Porsche 911 turut disita atas pelbagai kesalahan," katanya.

Beliau berkata sebanyak 92 kenderaan mewah telah disita sejak Ops Luxury dilaksanakan pada Julai lepas hingga semalam, manakala 401 kesalahan telah dikesan membabitkan 177 kes LKM tamat tempoh, tiada insuran (160 kes), tiada CDL (45 kes), nombor pendaftaran (10 kes) dan selebihnya lain-lain kes.

-- BERNAMA


#JPJ WPKL #kenderaan perdagangan #Ops Perang Lebih Muatan #Kenderaan Mewah