Skip to main content

Malaysia

JPM bincang dengan MOT cari kaedah kurangkan tambang penerbangan Sabah, Sarawak

KOTA KINABALU, 14 Feb -- Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mustapha Sakmudk menyampaikan ucapan pada Seminar Kenegaraan Malaysia Madani di Ming Garden Kota Kinabalu hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Datuk Mustapha Sakmud berkata perkara itu turut disuarakannya dalam mesyuarat Kabinet minggu lepas susulan aduan yang diterima daripada pelbagai pihak mengenai kenaikan harga tiket penerbangan. - Gambar fail
Advertisement

KOTA KINABALU: Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan berbincang dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk mencari kaedah bagi menangani isu lonjakan harga tiket penerbangan melibatkan Sabah dan Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata perkara itu turut disuarakannya dalam mesyuarat Kabinet minggu lepas susulan aduan yang diterima daripada pelbagai pihak mengenai kenaikan harga tiket penerbangan.

Beliau berkata antara faktor yang menyumbang kepada kenaikan tambang itu adalah peningkatan kos operasi syarikat penerbangan susulan krisis bekalan tenaga global.

“Memang kita menerima aduan daripada pelbagai pihak mengenai kenaikan (harga tambang penerbangan).

“Kita akan meneliti aduan ini supaya kita dapat mencari kaedah, bersama-sama syarikat penerbangan, untuk mengurangkannya. Kita cuba kurangkan” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Program MADANI Kita Bersama Komuniti Darau @Sepanggar di sini hari ini.

Mustapha berkata perhatian khusus turut diberikan kepada penuntut yang akan mendaftar di institusi pengajian tinggi serta institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada September ini, khususnya yang memerlukan perjalanan udara.

Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk mengenal pasti penuntut serta pelajar TVET yang memerlukan penerbangan, sebelum senarai nama itu dibawa ke Kabinet bagi meneliti langkah yang boleh diambil untuk memudahkan perjalanan mereka.

“Jadi mana-mana yang ada kaitan dengan penerbangan, yang ini kita minta senarainya dan kita lihat supaya dibentangkan di Kabinet supaya kerajaan dapat buat keputusan untuk mempermudah urusan mereka,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement