MALAYSIA

JPN nafi dakwaan salah guna identiti

Bernama 19/12/2025 | 08:15 MYT
JPN memaklumkan semakan mendapati dua individu yang dirujuk dalam paparan itu merupakan warganegara Malaysia dengan nombor MyKad berbeza.
PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan dakwaan berlaku penyalahgunaan nombor MyKad milik arwah bapa seorang individu seperti tular di media sosial termasuk dakwaan ia melibatkan warga asing.


Ringkasan AI
  • JPN menafikan dakwaan penyalahgunaan nombor MyKad arwah bapa individu seperti yang tersebar di media sosial, dengan menyatakan bahawa dua individu yang dirujuk merupakan warganegara Malaysia dengan nombor MyKad berbeza.
  • Dakwaan penyalahgunaan identiti dan penglibatan warga asing telah dibantah oleh JPN selepas semakan terperinci mendapati tiada unsur tersebut, berdasarkan kenyataan jabatan tersebut.
  • Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat spekulasi berhubung isu ini serta merujuk terus kepada Bahagian Wang Tidak Dituntut (BWTD) bagi pengesahan maklumat dan tuntutan yang sah, sesuai dengan prosedur yang ditetapkan.


JPN dalam kenyataan hari ini, memaklumkan semakan terperinci mendapati dua individu yang dirujuk dalam paparan itu merupakan warganegara Malaysia dengan mereka mempunyai nombor MyKad berbeza.

"Semakan juga mendapati tiada sebarang unsur penyalahgunaan identiti, pengeluaran dokumen pengenalan secara tidak sah atau penglibatan warga asing seperti didakwa," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, tular hantaran di media sosial oleh seorang individu mendakwa nombor MyKad milik arwah bapanya digunakan oleh warga asing.

Hantaran itu memaparkan dua nama berlainan dipaparkan ketika semakan Maklumat Wang Tidak Dituntut pada portal eGUMIS milik Bahagian Wang Tidak Dituntut (BWTD) Jabatan Akauntan Negara.

Sehubungan itu, JPN mengesahkan nombor MyKad milik arwah bapa individu itu sah dan kekal didaftarkan atas nama arwah dengan waris boleh membuat pengesahan rasmi di mana-mana pejabat JPN.

JPN memaklumkan semakan silang juga telah dilakukan bagi memastikan ketepatan maklumat itu dan pengadu dinasihatkan merujuk terus kepada BWTD bagi membuat pengesahan dan tuntutan selaras dengan prosedur ditetapkan.

"Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi, tuduhan tidak berasas atau menyebarkan maklumat belum disahkan kerana boleh menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan awam," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA




#Jabatan Pendaftaran Negara #mykad #salah guna identiti #Tular #warga asing