GUA MUSANG: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi jaminan integriti pengeluaran MyKad sentiasa terpelihara menerusi sistem kawalan dan prosedur keselamatan ketat bagi mengelakkan kad pengenalan sah dikeluarkan kepada individu tidak sepatutnya.
Ketua Pengarah JPN Datuk Badrul Hisham Alias berkata sepanjang lebih 25 tahun pelaksanaan MyKad, pihaknya tidak pernah berdepan kes petugas sengaja mengeluarkan kad pengenalan sah kepada individu yang tidak berhak menerimanya.
Beliau berkata setiap proses pengeluaran MyKad tertakluk kepada prosedur keselamatan dan kawalan kualiti, termasuk pemeriksaan bagi memastikan kad yang mengalami kerosakan ketika proses pengeluaran ditolak sebelum diserahkan kepada pemohon.
“Kad yang rosak di kilang turut diaudit berdasarkan nombor siri ditetapkan bagi memastikan setiap unit dapat dikenal pasti dan tidak diganti secara sewenang-wenangnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika mengulas mengenai integriti pengeluaran Mykad pada Program Literasi Pendaftaran bersempena dengan sambutan Hari Pendaftaran Negara ke-78 peringkat Kelantan di Pos Balar di sini.
Badrul Hisham berkata sistem pengeluaran MyKad turut mematuhi piawaian ISO, manakala ciri keselamatan pada kad berkenaan dipertingkat bagi mengurangkan risiko pemalsuan.
Beliau berkata sebarang percubaan meniru MyKad asli hanya akan menghasilkan kad yang kelihatan serupa tetapi tidak menyamai sepenuhnya dokumen asal kerana MyKad dilengkapi ciri keselamatan tertentu.
Mengulas kebimbangan orang ramai mengenai ketahanan MyKad baharu, beliau berkata kad itu masih menggunakan bahan polikarbonat seperti sebelum ini, namun ditambah baik dari segi teknologi dan ciri keselamatan.
Beliau berkata kerosakan cip tidak semestinya berpunca daripada kualiti pengeluaran, sebaliknya boleh berlaku akibat cara penjagaan dan penyimpanan oleh pengguna, termasuk kad tertinggal di dalam mesin basuh, dibersihkan menggunakan pemadam atau terdedah kepada cahaya matahari.
Badrul Hisham turut menjelaskan bahawa reka bentuk, warna dan maklumat yang dipaparkan pada MyKad tertakluk kepada peruntukan undang-undang serta tidak boleh diubah mengikut kehendak individu.
Perubahan tona warna biru pada MyKad itu dibuat atas faktor reka bentuk dan tidak membawa sebarang maksud khusus.
Selain itu, maklumat yang dipaparkan pada kad pengenalan ditentukan berdasarkan peruntukan undang-undang, termasuk maklumat agama bagi individu beragama Islam, manakala maklumat bangsa seperti Cina atau India tidak dipaparkan sebagai butiran pada kad berkenaan.
Pada Jun lepas, MyKad baharu yang telah mula diperkenalkan dilengkapi dengan 53 ciri keselamatan berbanding 23 ciri pada MyKad sedia ada.
Antara ciri keselamatan baharu diperkenalkan ialah turihan laser, ultraungu, hologram, guilloche, teks mikro, kod respons pantas (QR) bagi tujuan penguatkuasaan dan cip dengan tahap enkripsi yang dipertingkatkan.
-- BERNAMA