MALAYSIA
JPN sediakan saluran mudah untuk ganti MyKad rosak

Menurut JPN, permohonan boleh dibuat di 210 kaunternya di seluruh negara, menggunakan perkhidmatan Bas dan Van Bergerak MEKAR, menghubungi talian MyPhone-In atau secara dalam talian melalui JPN e-Services. - Foto Facebook JPN
PUTRAJAYA: Orang ramai yang berdepan masalah MyKad rosak boleh membuat penggantian dengan mudah melalui pelbagai saluran yang disediakan, menurut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerusi hantaran di laman media sosial rasminya hari ini.
Menurut JPN, permohonan boleh dibuat di 210 kaunternya di seluruh negara, menggunakan perkhidmatan Bas dan Van Bergerak MEKAR, menghubungi talian MyPhone-In atau secara dalam talian melalui JPN e-Services.
"Pemohon perlu membawa MyKad yang rosak dan bil utiliti sekiranya ingin menukar alamat. Bagi mereka yang hadir ke kaunter atau perkhidmatan MEKAR, mereka dinasihatkan supaya berpakaian kemas kerana gambar MyKad akan dikemas kini," katanya.
Hantaran itu turut memaklumkan bagi permohonan melalui MyPhone-In dan JPN e-Services, gambar serta alamat tidak boleh dikemas kini.Bagaimanapun, pemohon tetap perlu membawa MyKad yang rosak ketika hadir ke pejabat JPN bagi tujuan kutipan kad baharu.
Menerusi perkongsian sama, JPN memaklumkan bahawa MyKad perlu diganti jika gagal dibaca pada mesin atau kiosk layan diri, urusan di bank atau agensi kerajaan ditolak kerana sistem tidak dapat mengesan data kad, atau apabila berlaku kerosakan fizikal seperti calar, retak dan bengkok.
Kad yang telah digunakan melebihi 10 tahun juga wajar ditukar kerana cip berisiko haus atau terpadam.
Menurut JPN, bayaran penggantian ditetapkan RM10 bagi MyKad dan RM40 bagi MyKAS serta MyPR. Namun, sekiranya dilakukan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh serahan kad rosak, penggantian adalah percuma.
JPN turut memaklumkan tempoh siap penggantian MyKad di Ibu Pejabat Negeri, cawangan UTC dan cawangan terpilih hanya mengambil masa sekitar 30 minit manakala di cawangan lain ialah lima hari bekerja di Semenanjung manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan pula ialah tujuh hari bekerja.
"Sebagai dokumen pengenalan rasmi negara, MyKad amat penting dalam pelbagai urusan seharian termasuk di bank, klinik, sekolah serta agensi kerajaan," katanya.
JPN turut berkongsi tip penjagaan MyKad agar tidak cepat rosak antaranya menyimpan kad dalam bekas khas, tidak membengkok atau melipat kad, mengelakkan kad daripada terdedah kepada haba tinggi dan air, tidak meletakkan kad berdekatan magnet serta menjauhkan kad daripada geseran kasar atau mesin yang tidak dikenali.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami