Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (JPNIN) Kelantan akan menggunakan pelbagai medium dan program jabatan itu bagi menyalurkan maklumat berhubung ancaman pengganas di Malaysia.

Pengarahnya Salasiah Hashim berkata kesiapsiagaan itu penting walapun masih belum ada kes membabitkan militan Daish di Kelantan.

"Secara dasarnya kita telah memperkasakan jentera dan pegawai dengan maklumat yang secukupnya berhubung perkara ini untuk diuar-uarkan kepada masyarakat terutama melalui program membabitkan

Kawasan Rukun Tetangga (KRT) supaya masyarakat sedar akan adanya ancaman ini.

"Maklumat juga dikongsi melalui menyuarat pengurusan bersama pengerusi- pengerusi KRT seluruh negeri yang menjadi medium utama penyampai maklumat kepada golongan akar umbi," katanya kepada Bernama di Majlis Pelancaran Skim Rondaan Sukarela (SRS) KRT Pasir Hor di sini, hari ini.

Salasiah berkata peranan jabatan tersebut kini bukan hanya memberi fokus kepada isu perpaduan dan keharmonian tetapi meluas kepada isu sejagat lain termasuk ancaman pengganas.

Beliau berkata kini terdapat 459 KRT di Kelantan dan 431 SRS akan digerakkan dari semasa ke semasa sebagai 'mata dan telinga' kerajaan menangani pelbagai isu sejagat.