JOHOR BAHRU: Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan mengeluarkan pemakluman rasmi setiap hari berhubung pelanjutan penutupan sekolah susulan jerebu, meskipun kerajaan negeri semalam mengumumkan penutupan sekolah selama lima hari.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata pemakluman harian itu merupakan sebahagian daripada tatacara pentadbiran yang perlu dipatuhi JPNJ, selaras dengan arahan dan prosedur yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).
"Justeru, saya berharap semua pihak dapat memahami bahawa pemakluman harian ini merupakan sebahagian daripada tatacara pentadbiran yang perlu dipatuhi oleh JPNJ dan bukannya percanggahan dengan pengumuman kerajaan negeri," katanya menerusi hantaran di akaun Facebook rasminya hari ini.
Beliau berkata keutamaan ketika ini adalah untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar di negeri itu sentiasa terpelihara.
Terdahulu, ramai ibu bapa mempersoalkan perbezaan tempoh penutupan sekolah yang dimaklumkan kerajaan negeri dan JPNJ menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Perbezaan itu susulan kenyataan JPNJ hari ini yang memaklumkan bahawa semua sekolah ditutup pada 12 Okt, manakala kerajaan negeri mengumumkan penutupan sekolah dari 12 hingga 16 Okt, selepas sekolah ditutup selama dua hari pada 8 dan 9 Okt lepas.
Dalam kenyataan sama, JPNJ memaklumkan bahawa Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan sepanjang tempoh penutupan bagi memastikan pembelajaran murid dapat diteruskan.
Kebenaran pulang bagi murid sekolah berasrama penuh pula tertakluk kepada keputusan pengetua berdasarkan penilaian risiko semasa serta pertimbangan aspek keselamatan dan kebajikan murid.
Selain itu, pelaksanaan Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) dan pentaksiran lain yang terlibat akan ditangguhkan dan dijadualkan semula mengikut ketetapan Lembaga Peperiksaan dan JPNJ.
JPNJ turut memaklumkan bahawa Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) yang dijadualkan pada 12 Okt ditangguhkan, manakala tarikh baharu akan diumumkan kemudian.
"Penjadualan semula PKSK bagi calon yang terlibat akan dimaklumkan kemudian berdasarkan ketetapan JPNJ," menurut kenyataan itu.
Jabatan berkenaan turut memaklumkan bahawa guru dan pegawai yang terlibat tidak perlu hadir bagi pelaksanaan pentaksiran berkenaan.
Pihak sekolah dan pusat PKSK juga diminta memaklumkan perubahan itu kepada ibu bapa, penjaga dan calon yang terlibat.
-- BERNAMA