Skip to main content

Malaysia

JPPM nafi ada kepentingan dalam urusan pertubuhan berdaftar

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia
JPPM menyangkal dakwaan dan penularan kenyataan palsu di media sosial melibatkan JPPM Sarawak serta pegawai jabatan berhubung pengurusan serta pentadbiran OUNA.

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menegaskan tidak mempunyai kepentingan terhadap mana-mana pertubuhan berdaftar dan segala keputusan berkaitan pengurusan serta pentadbiran pertubuhan dibuat mengikut peruntukan undang-undang dan prosedur yang berkuat kuasa.

JPPM dalam kenyataan hari ini menyangkal dakwaan dan penularan kenyataan palsu di media sosial melibatkan JPPM Sarawak serta pegawai jabatan berhubung pengurusan serta pentadbiran pertubuhan Orang Ulu National Association (OUNA).

“Segala keputusan dibuat sepenuhnya mengikut peruntukan Akta Pertubuhan 1966, perlembagaan pertubuhan, prosedur pentadbiran yang berkuat kuasa, penelitian terhadap dokumen dan representasi yang dikemukakan.

“Pertikaian dalaman adalah tanggungjawab pertubuhan berkenaan untuk diselesaikan mengikut perlembagaan masing-masing,” menurut kenyataan itu.

JPPM memaklumkan telah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan dan akan memberi kerjasama penuh kepada polis dalam usaha mengesan individu terlibat. 

JPPM mengingatkan orang ramai tidak menyebarkan atau mempercayai maklumat yang tidak disahkan kesahihannya.

Baru-baru ini terdapat hantaran di media sosial mempertikaikan pengendalian Persidangan Perwakilan Dwitahunan (BDC) OUNA pada 27 Okt 2025 termasuk dakwaan mesyuarat tidak dilaksanakan mengikut perlembagaan pertubuhan selain beberapa isu dalaman lain.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video