KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) mengesan transaksi pemindahan wang sebanyak RM3.8 bilion ke 43 negara melalui 15 syarikat perdagangan berdaftar di Malaysia, yang disyaki hasil kegiatan penipuan bermula 2021 hingga 2023.

Pengarah JSJK Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata pihaknya mengesan kewujudan trend pendaftaran syarikat dan pembukaan akaun bank atas nama syarikat yang disyaki bertujuan dijadikan akaun keldai.

Beliau berkata taktik berkenaan menjadi pilihan kerana ia membolehkan transaksi kewangan dilakukan secara lebih kerap dan melibatkan amaun yang lebih besar.

"Selain daripada akaun keldai individu, kini wujud pula akaun keldai syarikat yang memberi ancaman kewangan yang lebih besar kerana transaksi yang bertopengkan syarikat melibatkan jumlah wang yang boleh mencecah bilion ringgit.

"Dalam membanteras kegiatan ini, JSJK melihat kepada keperluan supaya fungsi portal Semakmule diperkasakan dengan menambah satu lagi modul yang menyenaraikan syarikat yang disyaki terlibat dengan kegiatan jenayah komersial. Maka lahirlah Portal Semakmule 2.0," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Portal Semakmule 2.0 di sini hari ini.

Beliau berkata fungsi berkenaan bagi membolehkan masyarakat mengetahui organisasi yang terlibat dengan jenayah komersial dan seterusnya mengelak daripada meneruskan urusan dengan syarikat terbabit.

"Sejumlah 107 syarikat telah disenaraikan dalam pengkalan data Portal Semakmule 2.0 dan jumlah ini akan terus bertambah dari masa ke masa selaras dengan siasatan yang dijalankan dan kes-kes baharu yang diterima setiap hari. Diharapkan, portal ini akan digunakan masyarakat bagi mengelak menjadi mangsa penipuan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ramli berkata bermula Januari hingga Februari lepas, sejumlah 6,283 kes jenayah komersial direkodkan melibatkan nilai kerugian RM664,591,645.45.

Beliau berkata berbanding tempoh sama tahun lepas, yang mencatatkan sejumlah 6,544 kes dan nilai kerugian RM265,818,610.44, kes bagi tahun ini telah mencatatkan penurunan sebanyak 4.2 peratus tetapi nilai kerugian mencatatkan kadar peningkatan yang cukup besar sebanyak 150 peratus.

-- BERNAMA