MALAYSIA

JSJN KL tumpas sindiket edar dadah guna minuman berperisa

Bernama 12/01/2026 | 07:15 MYT
Fadil (foto) berkata serbuan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur berdasarkan risikan dan maklumat orang awam, serta menahan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang menggunakan minuman berperisa sebagai medium edaran, hasil tiga serbuan di sekitar ibu negara Rabu lepas, dengan rampasan keseluruhan bernilai RM978,857.


Ringkasan AI
  • Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah menggunakan minuman berperisa sebagai medium edaran, hasil tiga serbuan di sekitar ibu negara dengan rampasan bernilai RM978,857.
  • Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, menyatakan serbuan dilakukan berdasarkan risikan dan maklumat orang awam, menahan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun.
  • Rampasan termasuk cecair MDMA, serbuk MDMA, kartrij vape ketamin, rokok cannabis, dan harta bernilai RM146,507, termasuk kenderaan mewah, menjadikan jumlah sitaan hampir RM1 juta.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus, berkata serbuan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur berdasarkan risikan dan maklumat orang awam, serta menahan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun.

Beliau berkata serbuan pertama dijalankan di sebuah rumah teres dan kereta di kawasan rumah itu, dipercayai digunakan untuk memproses dan menyimpan dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Dua lagi serbuan dilakukan, di sebuah rumah dan kenderaan di lokasi berasingan, menghasilkan lebih banyak rampasan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Fadil, antara dadah yang dirampas ialah cecair MDMA seberat 867,252 gram bernilai RM701,850; serbuk MDMA seberat 5,480.50 gram bernilai RM37,800; 190 kartrij vape cecair ketamin berjumlah 380 mililiter bernilai RM57,000 serta 306 batang rokok cannabis seberat 304.97 gram bernilai RM30,600,

Turut dirampas ialah peket plastik lut sinar ketamin seberat 21 gram bernilai RM4,200; dadah jenis ecstasy seberat 5.28 gram bernilai RM500 serta pil Erimin 5, seberat 21.08 gram bernilai RM400.

Selain dadah, polis juga menyita harta dianggarkan bernilai RM146,507 termasuk sebuah Mercedes-Benz, Honda City Hatchback, rantai berwarna kekuningan, dua jam tangan serta wang tunai dan mata wang asing, menjadikan jumlah sitaan RM978,857.

Hasil siasatan mendapati suspek membawa dadah tersebut dari satu lokasi ke lokasi lain menggunakan kenderaan, manakala rumah dijadikan tempat simpanan dan pemprosesan sebelum dijual kepada orang awam tanpa sasaran khusus seperti kelab malam.

Dadah diproses dan dibungkus dalam minuman berperisa seperti anggur, teh hijau dan teh herba Cina, bagi mengaburi pihak berkuasa. Harga jualan bergantung kepada kandungan dan kualiti, ada yang mencecah ratusan ringgit.

Suspek direman tujuh hari bermula 8 hingga 14 Jan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tiada rekod jenayah.

Fadil menegaskan Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pengedar dadah dan menyeru orang ramai menyalurkan maklumat melalui Hotline JSJN di 012-208 7222.

-- BERNAMA




Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah medium yang digunakan sindiket ini dalam pengedaran dadah?
    A: Sindiket menggunakan minuman berperisa seperti anggur, teh hijau, dan teh herba Cina sebagai medium edaran.
  • Q: Berapakah nilai rampasan keseluruhan hasil serbuan polis?
    A: Nilai rampasan keseluruhan selepas tiga serbuan adalah RM978,857, termasuk dadah dan harta bernilai RM146,507.
  • Q: Apakah tindakan yang diambil terhadap suspek yang ditahan dalam serbuan ini?
    A: Suspek direman tujuh hari bermula 8 hingga 14 Jan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.



#Fadil Marsus #minuman berperisa #sindiket pengedaran dadah #MDMA