MALAYSIA

Juadah Tongmo dari Kemboja tarikan di bazar Ramadan

Wana Abd Rahman 04/04/2022 | 04:44 MYT
Bahan yang diperlukan untuk menyediakan Tongmo ialah lemak lembu, bawang putih, lengkuas, sos untuk perapan dan herba ratus yang akan disumbat dengan sarung menggunakan perut muda lembu sebelum dibakar. - Gambar Astro AWANI
KOTA BHARU: Sejenis lauk untuk berbuka puasa yang dikenali dengan panggilan 'perut sumbat daging' atau 'Tongmo' dalam bahasa Kemboja mendapat permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat Kelantan.

Walaupun Tongmo baru berada dalam pasaran negeri Serambi Mekah itu yang asalnya dibawa masuk oleh peniaga dari Kemboja, namun juadah berkenaan dengan mudah menambat minat rakyat tempatan.

Kalau bukan di bulan puasa, Tongmo sebelum ini hanya boleh dibeli daripada penjaja di bahu jalan.

Menurut seorang peniaga Tongmo di bazar Ramadan, Nur Fatimah Mansor, 23, bahan asas untuk menyediakan juadah ini ialah daging lembu yang disempurnakan dengan beberap jenis sos pilihan.

Kata Nur Fatimah, daging berkenaan akan dikisar sebelum diperap mengikut cara dan resipi masyarakat Kemboja.

Selain itu daging yang dikisar itu, bahan lain yang diperlukan untuk menyediakan Tongmo ialah lemak lembu, bawang putih, lengkuas, sos untuk perapan dan herba ratus yang akan disumbat dengan sarung menggunakan perut muda lembu sebelum dibakar.

"Tongmo dalam bahasa Champa (Kemboja) itu bermaksud perut muda yang disumbat daging, masyarakat setempat memanggilnya dengan nama perut sumbat daging atau Tongmo," katanya ketika ditemui di bazar Ramadan pekarangan Stadium Sultan Muhamad Ke-IV di sini.



Katanya, daging yang diperap dan dikisar itu kemudiannya dimasukkan (disumbat) ke dalam karungan perut muda dan dibakar.

"Saya masukkan daging kisar itu ke dalam perut muda lembu seperti sosej dan menjualnya dengan harga RM10 bagi tiga cantuman," katanya.

Menurut Nur Fatimah lagi, resipi perut daging itu sekalipun berasal dari negara lain, namun, ia ditambah baik dengan perasa istimewa yang dihasilkan bapanya.

Kata Nur Fatimah, apa yang amat disyukurinya ialah walaupun pertama kali berniaga di bazar Ramadan, namun, perniagaan Tongmo yang dihasilkannya laris bak goreng pisang panas.

"Alhamdulillah, sudah 300 ketul Tongmo berjaya dijual. Walaupun baru pertama kali berniaga di tapak ini, saya memang tak menang tangan. Sambutan pembeli sangat luar biasa.

"Ramai pelanggan (luar daerah) yang kenal 'Tongmo' buatan saya dan pernah membelinya di gerai jualan saya di kampung Penambang dan Pantai Cahaya Bulan.

"Apabila mereka tahu saya berniaga di bazar Ramadan, mereka datang membeli di sini walaupun jauh, mereka datang beli juga " katanya.

Tambah Nur Fatimah, ada juga pelanggan baharu yang mahu mencubanya kerana tertarik dengan resipi daging kisar sumbat yang dipeloporinya sejak 2018.

Gerai perut sumbat daging yang diusahakan Nur Fatima di di bazar Ramadan pekarangan Stadium Sultan Muhamad Ke-IV dibuka seawal pukul 3.30 petang.
#Tongmo #Juadah Berbuka Puasa #Bazar Ramadan #Stadium Sultan Muhamad Ke-IV