MELAKA: Seorang majikan kiosk peranti dan perkakasan bersama dua pekerjanya didenda RM39,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas kesalahan menjual android box tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), dua tahun lalu.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap Ong Tuck Keong, 30, Lee Hock Chuan, 21, dan How Jun Tian, 20, yang mengaku bersalah atas pertuduhan masing-masing.

Mengikut pertuduhan, Lee dan How masing-masing didakwa menjual tiga Top Box jenama SVICLOUD 3 Pro dan K&R MAC ADD serta seunit Top Box jenama SVICLOUD 3 Pro di kiosk K&R Technology Enterprise bagi maksud memintas langkah perlindungan teknologi yang disebut dalam subseksyen 36A(3) Akta Hak Cipta (AHC) 1987.

Bagi kesalahan itu mereka dituduh mengikut Seksyen 41(1)(ha) AHC 1987, memperuntukkan hukuman denda minimum RM4,000 atau maskimum RM40,000 bagi setiap perekaan yang berkenaan dengan kesalahan atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Mereka juga juga didakwa masing-masing menjual kelengkapan komunikasi tidak diperakui sebagaimana dikehendaki oleh Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 iaitu 20 Android Box jenama K&R dan lapan unit Android Box jenama K&R T9 Set Top Box dan SVICLOUD Model 3 Pro.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(1) Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang boleh dihukum berpandukan Peraturan 16(3) peraturan sama, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Ong pula didakwa bersuhabat dengan Lee dan How dalam melakukan kesalahan seperti pertuduhan dihadapi mereka yang dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu dilakukan di kiosk berkenaan di sebuah pasar raya di Peringgit di sini, pada 25 Oktober 2021, antara jam 1.10 tengah hari hingga 1.30 tengah hari.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin menjalankan pendakwaan; Lee diwakili peguam Vinson Tay manakala Ong dan How diwakili peguam Goh Han Koon dan Milavieri Virginia Chong Yeng Nee.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda keseluruhan RM13,500 atau tujuh bulan penjara jika gagal membayar terhadap Lee, manakala Ong RM20,000 atau 10 bulan penjara dan How RM5,500 atau tiga bulan penjara.

Jual 'android box' tidak diperakui, tiga lelaki didenda RM39,000