Skip to main content

Malaysia

Jualan Agro MADANI bantu rakyat nikmati penjimatan sehingga 30 peratus - FAMA

SERDANG, 3 Sept - Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Industri Agromakanan), Suraya Mohd Yusof (dua, kanan) menyampaikan unit Set Kombo Jualan Agro MADANI sempana Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Laman Nanas, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Suraya Mohd Yusof (dua, kanan) menyampaikan unit Set Kombo Jualan Agro MADANI sempana Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Laman Nanas, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS). - Gambar Bernama
Advertisement

SERDANG: Program Jualan Agro MADANI memperkukuh peranannya sebagai antara platform utama kerajaan dalam membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Industri Agromakanan) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Suraya Mohd Yusof berkata. program di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu membekalkan produk terus daripada petani kepada pengguna, sekali gus mengurangkan penglibatan orang tengah.

Beliau berkata. pendekatan itu bukan sahaja membolehkan pengguna menikmati harga lebih berpatutan, malah membantu petani memperoleh pulangan yang lebih baik bagi hasil pengeluaran mereka.

“Apabila kami kata produk ini dibawa daripada petani terus kepada pengguna, di situ kami telah mengurangkan lapisan orang tengah. Secara automatik petani mendapat margin yang lebih tinggi dan pengguna pula mendapat harga yang berpatutan.

“Untuk produk yang kami tawarkan, kami memang menawarkan penjimatan 10 hingga 30 peratus daripada harga pasaran setempat,” katanya kepada Bernama pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia pada Khamis. 

Suraya berkata, Jualan Agro MADANI menawarkan pelbagai barangan termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, telur, ayam dan daging selain barangan asas, produk proses serta beberapa barangan keperluan harian lain.

Beliau berkata, program itu turut dilaksanakan di kawasan yang mudah dicapai pengguna termasuk kawasan perumahan, Program Perumahan Rakyat, kompleks kerajaan serta premis runcit FAMA seperti Agro Bazar Kedai Rakyat dan Agro Bazar Rakyat.

Jualan Agro MADANI yang dilancarkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada 16 April 2023 adalah penjenamaan semula program Jualan Terus Dari Ladang yang sebelum ini dilaksanakan FAMA.

Bersempena MAHA, FAMA turut mengetengahkan Jualan Agro MADANI menerusi segmen Kingdom of Agrofood dengan melon dan jambu batu sebagai antara produk utama selain telur, bawang, rebung serta beberapa komoditi lain.

Suraya berkata, sebanyak 5,000 Kombo MADANI disediakan kepada pengunjung dengan setiap kombo bernilai RM20 ditawarkan pada harga RM10 manakala harga serendah RM5 ditawarkan pada waktu tertentu menerusi sesi Happy Hour.

Beliau juga memaklumkan, FAMA menyasarkan nilai jualan RM100,000 menerusi pelaksanaan Jualan Agro MADANI sepanjang MAHA 2026.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement