Hasil jualan kraftangan di negeri Sarawak antara Januari hingga Julai 2020 mencatatkan perkembangan positif.

Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, hasil jualan bagi tempoh tersebut mencatatkan jumlah RM8.2 juta.

“Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kraftangan Malaysia, rekod terendah adalah RM41,000 iaitu pada Mei lalu.

“Jumlah jualan keseluruhan pada Julai pula meningkat berbanding Jun, iaitu kepada RM1.65 juta,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Pejabat Majlis Kraf Sarawak, Galeri dan kedai jualan di ‘The Sarawak Steamship Building’ di Tebingan Kuching pada Rabu.

Tambah beliau, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sejak Mac lalu jelas sekali memberi kesan kepada jumlah jualan kraftangan di Sarawak.

Oleh yang demikian, sasaran jualan bagi produk kraftangan di negeri itu bagi tahun ini dikurangkan kepada RM12 juta berbanding RM35 juta setahun sebelum ini.

Jelasnya, pelarasan dibuat berdasarkan hasil analisis kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap industri pelancongan peringkat domestik.

“Berbanding jumlah jualan tahun lepas iaitu RM32 juta, kami jangkakan penurunan sekitar RM20 juta jualan kraf bagi tahun ini.

“Sasaran jualan bagi tahun 2020 telah diturunkan dari RM35 juta kepada RM12 juta,” tambah Karim.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Pejabat Majlis Kraf Sarawak, Galeri dan kedai jualan di ‘The Sarawak Steamship Building’ di Tebingan Kuching pada Rabu.