Jualan Kasih KEDA MADANI catat jualan lebih RM500,000 sejak 2024

Mahdzir (lima, kanan) melawat gerai jualan sempena Program Jualan Kasih KEDA MADANI daerah Padang Terap di Pejabat KEDA Zon 2, hari ini. - Gambar Bernama
KUALA NERANG: Program Jualan Kasih KEDA MADANI anjuran Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terus mendapat sambutan menggalakkan apabila merekodkan nilai jualan keseluruhan berjumlah RM524,000 sejak mula dilaksanakan tahun lepas.
Pengerusi KEDA Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata jumlah itu melibatkan pelaksanaan program di enam lokasi iaitu Yan, Sik, Jitra, Baling, Kulim dan Padang Terap.
Beliau berkata program itu turut memberikan penjimatan sebanyak RM174,000 kepada lebih 16,000 pengguna yang memanfaatkan harga barangan keperluan pada kadar lebih rendah.
"Hasil jualan yang dicapai membuktikan bahawa program jualan ini semakin dikenali ramai dan benar-benar membantu meringankan beban keluarga," katanya kepada pemberita sempena program itu di sini hari ini.
Mahdzir berkata KEDA sentiasa komited menyokong usaha kerajaan dalam mengurangkan beban kos sara hidup rakyat melalui program yang mampu memberi manfaat secara langsung kepada komuniti.
Beliau berkata KEDA turut berhasrat meneruskan penganjuran Jualan Kasih KEDA MADANI di daerah lain bagi memastikan lebih ramai penduduk mendapat akses kepada barangan keperluan pada harga berpatutan.
Antara keistimewaan Jualan Kasih KEDA MADANI, katanya ialah penawaran 53 item barangan basah dan kering hingga 30 peratus dan kemuncak program dengan jualan Happy Hour dan Combo Sale.
"Selain itu, program berkenaan menjadi medium usahawan KEDA dan FAMA mempromosi dan memasarkan produk usahawan terus kepada pengguna dalam meningkatkan pendapatan mereka," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


