DREBAR

Jualan kenderaan di Thailand menurun 16.3%. Toyota kaji semula ramalan bagi 2015

Astro Publication 03/08/2015 | 05:22 MYT
Toyota telah mengkaji semula ramalan jualan bagi tahun 2015 di Thailand melihat kepada kesusutan prestasi jualan kenderaan di negara tersebut bagi enam bulan pertama tahun ini. Mengikut kata Kyoichi Tanada, presiden Toyota Motor Thailand lagi,”Permintaan yang turun mendadak ditambah lagi dengan keadaan ekonomi tidak stabil pada peringkat global. Perbelanjaan isi rumah juga lemah pada waktu ini.”

Unit kenderaan yang terjual (keseluruhan) bagi enam bulan pertama tahun ini berjumlah 369,109 unit, penurunan tahun-ke-tahun sebanyak 16.3%. Bagi Toyota khususnya, jualan adalah 123,125 unit, iaitu penurunan sebanyak 24.9%.

Untuk itu, ramalan unit terjual (keseluruhan) sepanjang tahun 2015 telah dikemaskini kepada 800,000 unit, kurang 9.3% dari tahun lepas. Untuk Toyota, dijangka 280,000 unit kenderaan akan dapat dijual, penurunan sebanyak 14.4%.

Angka ini dirumus berdasarkan keadaan ekonomi yang dijangka akan bertambah baik; antara lain disebabkan pelaburan oleh kerajaan untuk merangsang aktiviti ekonomi. Tambahan lagi, beberapa model baharu akan dilancarkan (termasuk oleh jenama-jenama lain) dan jumlah kenderaan untuk eksport juga akan bertambah.

Namun, Tanada masih lagi yakin dengan potensi Thailand, “Kami percaya kepada Thailand dan bersedia untuk terus melabur di dalam negara ini walaupun dengan kelemahan pada pasaran domestik. Kami akan meningkatkan pertukaran pengetahuan dan teknologi agar industri automotif negara ini dapat diperkuatkan.”

Tanada menambah bahawa Toyota akan memaksimakan kemampuan Thailand sebagai hab eksport.
# #Toyota