MALAYSIA

Jualan produk tempatan di platform e-dagang cecah RM1.99 bilion tahun lepas

Bernama 07/11/2025 | 21:50 MYT
Armizan (dua, kanan) melawat reruai pameran selepas merasmikan 11.11 TikTok Shop Mega Sale Carnival 2025 di Pavillion Bukit Jalil pada Jumaat. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Jualan produk tempatan yang dipasarkan menerusi platform e-dagang mencecah RM1.99 bilion pada tahun lepas, hasil kolaborasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama penyedia platform di bawah pelaksanaan khusus Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2024.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. Datuk Armizan Mohd Ali berkata. nilai itu melibatkan lebih 1.6 juta unit penyimpanan stok (SKU), sekali gus membuktikan potensi besar KBBM dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan semangat patriotisme rakyat.

Beliau berkata. inisiatif itu juga membuktikan keberkesanan strategi pendekatan keseluruhan negara yang menggabungkan peranan kerajaan, industri, usahawan serta pengguna dalam menjayakan agenda beli barangan tempatan.

"Trend kepenggunaan semakin jauh berkembang melalui platform e-dagang dan atas sebab itu, kami ambil pendekatan untuk mendapatkan kerjasama dengan pengendali atau penyedia platform e-dagang.

"Berdasarkan pencapaian ini, kami melihat terdapat kewajaran untuk terus melonjakkan dan merapatkan lagi kerjasama dengan penyedia platform e-dagang," katanya selepas pelancaran program TikTok Shop 11.11 Mega Sale Carnival 2025, di sini. pada Jumaat.

Turut hadir Ketua Pengarah Penguatkuasaan KPDN, Datuk Azman Adam dan Ketua Perniagaan TikTok Shop Malaysia, Zason Wu.

Karnival berkonsepkan hiburan dan membeli-belah itu berlangsung selama tiga hari bermula hari ini menampilkan lebih 30 jenama dan pameran daripada usahawan dan peniaga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pempengaruh tempatan.

Mengenai acara itu, Armizan berkata, penganjuran kali ini buat julung kalinya diadakan secara fizikal dan dalam talian dengan penglibatan lebih banyak jenama dan usahawan tempatan yang menjual produk melalui platform TikTok Shop.

"Program ini bukan sahaja menjadi platform promosi, malah mengangkat elemen usaha KBBM yang bukan hanya sekadar slogan atau trend, sebaliknya mewakili gerakan besar memperkukuh ekonomi nasional melalui pembelian barangan buatan tempatan yang berupaya mengekalkan kitaran wang dalam negara," katanya.

Beliau berkata, setiap pembelian produk tempatan adalah satu bentuk pelaburan kepada ekonomi negara, yang bukan sahaja memajukan perusahaan PMKS tetapi turut memberi kesan langsung kepada sosioekonomi rakyat.

Pada masa sama, Armizan berkata, KPDN masih dalam proses mengkaji kerangka perundangan e-dagang negara bagi memastikan persekitaran industri yang kondusif, responsif dan selamat untuk semua pihak termasuk pengguna dan peniaga.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan undang-undang baharu itu nanti mampu menyeimbangkan kepentingan semua pihak dan terus menyokong pertumbuhan ekosistem e-dagang yang progresif serta mampan.

-- BERNAMA







#E-dagang #platform dalam talian #Kempen Beli Barangan Malaysia #produk tempatan #kpdn #ekonomi