Jualan Rahmah MADANI lebih kerap mudahkan rakyat beli barangan keperluan asas

Program Jualan Rahmah MADANI akan dianjurkan dengan lebih kerap di seluruh negara bermula 9 Jan ini. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Program Jualan Rahmah MADANI, yang akan dianjurkan dengan lebih kerap di seluruh negara bermula 9 Jan ini, memberi kelegaan kepada rakyat dengan membolehkan mereka membeli barangan keperluan asas pada harga berpatutan dan lebih menjimatkan secara berterusan.
Di JOHOR, seorang suri rumah Nurul Hidarina Mohammed Azam, 35, berkata, program Jualan Rahmah MADANI amat membantu dia sekeluarga dalam menguruskan perbelanjaan barangan dapur dengan lebih baik.
"Saya memang kerap ke jualan ini kerana harganya lebih rendah berbanding pasaran... biarpun hanya berbeza beberapa ringgit dan nampak kecil bagi sesetengah orang namun bagi kami, ia sangat bermakna kerana lebihan itu boleh digunakan untuk menampung keperluan lain dalam rumah.
"Oleh itu, saya berharap usaha murni ini dapat diteruskan supaya manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat sekali gus memberi lebih banyak pilihan untuk berbelanja secara berhemah, " kata ibu anak dua itu.
Bagi peniaga, Suriani Hassan, 36, program berkenaan dilihat sebagai antara platfom terbaik membantu menjana pendapatan selepas melihat sambutan orang ramai setiap kali ia diadakan.
"Saya memang menyediakan ruang di kedai untuk membantu peniaga kecil terutama suri rumah menjual aneka makanan... oleh itu, program jualan ini secara tidak langsung memberi peluang lebih luas kepada peniaga kecil untuk meningkatkan jualan dan pendapatan mereka," katanya.
Di PERAK, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak, Azleena Zainal Abidin berkata, berdasarkan kejayaan pelaksanaan 285 sesi Jualan Agro MADANI di seluruh negeri sepanjang 2025, FAMA Perak menjangkakan pelaksanaan program itu pada tahun ini akan digerakkan dengan lebih berfokus, bersasar dan berimpak tinggi selaras keperluan setempat.
"Antara perancangan utama yang telah dikenal pasti ialah penganjuran Program Jualan Agro MADANI Khas di Kerian yang dijadualkan sebelum Tahun Baharu Cina dan sambutan Ramadan sebagai langkah proaktif bagi membantu rakyat membuat persediaan awal menjelang musim perayaan," katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Perak, Datuk Kamalludin Ismail pula berkata, sebanyak 2,124 program jualan dijangka dilaksanakan di 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2026.
Di PERLIS, seorang suri rumah Nurul Aina Rahman, 34, berkata, inisiatif jualan yang dilaksanakan kerajaan itu membantu mengurangkan perbelanjaan bulanan keluarganya terutama bagi barangan dapur.
"Memandangkan harga barangan yang lebih murah, kami dapat berjimat dan beli keperluan asas mencukupi untuk sebulan," katanya.
Seorang penjawat awam M. Ravindran, 41, pula menyifatkan pelaksanaan program itu sebagai langkah tepat kerajaan dalam menangani tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat, dan pendapatnya dipersetujui pesara Lim Wei Kiat, 66, yang berharap agar ia dapat diteruskan secara berkala.
Di KELANTAN, seorang peniaga ikan Normawati Hashim, 43, dari Kampung Panji pula berkata, peningkatan kekerapan penganjuran Jualan Rahmah MADANI memudahkan penduduk setempat mendapatkan bekalan barangan asas tanpa perlu menunggu lama.
"Apabila jualan ini diadakan dengan lebih kerap, rakyat boleh merancang pembelian dan tidak perlu membeli stok barangan dalam jumlah yang banyak sekali gus membantu menjimatkan perbelanjaan keluarga," katanya ketika ditemui di Pasar Siti Khadijah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi Bulan Januari dan Amanat Tahun 2026 di Putrajaya pada Isnin mengumumkan bahawa Jualan Rahmah MADANI akan bermula 9 Jan ini dan diadakan tiga kali sebulan di setiap DUN.
Anwar berkata, secara keseluruhan, lebih 23,000 Jualan Rahmah MADANI akan dianjur melibatkan 600 DUN serta 40 lokasi di Wilayah Persekutuan bagi memastikan barangan keperluan asas ditawarkan pada harga lebih rendah berbanding pasaran setempat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


