[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Jualan sektor pembinaan Malaysia naik 3.5 peratus pada RM162.5 bilion - Perangkaan

Bernama 11/09/2025 | 14:15 MYT
DOSM berkata pertumbuhan nilai jualan sektor pembuatan berorientasikan eksport, yang merangkumi 71.7 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan, berada pada kadar 2.7 peratus pada Julai 2025. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia meningkat sebanyak 3.5 peratus tahun ke tahun kepada RM162.5 bilion pada Julai 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau yang berkembang sebanyak 8.9 peratus pada Julai 2025 berbanding 14.7 peratus pada Jun 2025.

"Pada masa yang sama, nilai jualan meningkat 0.8 peratus, mencapai RM162.5 bilion berbanding RM161.2 bilion yang direkodkan pada bulan sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

DOSM berkata pertumbuhan nilai jualan sektor pembuatan berorientasikan eksport, yang merangkumi 71.7 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan, berada pada kadar 2.7 peratus pada Julai 2025.

Prestasi ini disokong oleh peningkatan 6.3 peratus dalam pembuatan minyak dan lemak sayuran serta haiwan (Jun 2025: 15.9 peratus).

Pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal meningkat 6.9 peratus (Jun 2025: 3.8 peratus), manakala pembuatan mesin dan kelengkapan berkembang sebanyak 12.4 peratus (Jun 2025: 10.5 peratus).

"Perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport susut sedikit sebanyak 0.3 peratus (Jun 2025: 4.1 peratus)," kata DOSM.

Begitu juga, industri berorientasikan domestik kekal pada pertumbuhan stabil 5.6 peratus pada Julai 2025, disokong oleh pengembangan kukuh dalam produk pemprosesan makanan yang meningkat 12.7 peratus (Jun 2025: 14.0 peratus).

Pertumbuhan juga disumbangkan oleh pembuatan logam asas (7.2 peratus) dan produk logam fabrikasi kecuali mesin dan kelengkapan (4.0 peratus), bagaimanapun, industri berorientasikan domestik meningkat 3.8 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata jumlah guna tenaga dalam sektor pembuatan ialah seramai 2.4 juta orang pada Julai, meningkat 1.1 peratus berbanding satu peratus pada Jun.

Pertambahan ini dipacu terutamanya oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau (2.0 peratus); produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (1.4 peratus); dan peralatan elektrik dan elektronik (1.4 peratus). Berasaskan bulan ke bulan, bilangan pekerja dalam sektor ini meningkat0.2 peratus.

Seiring dengan itu, gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan juga mencatatkan pengembangan 2.3 peratus (Jun 2025: 1.6 peratus), berjumlah RM8.31 bilion pada Julai 2025. Bagaimanapun, gaji dan upah yang dibayar susut 0.2 peratus berbanding RM8.33 bilion yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

"Selanjutnya, nilai jualan bagi setiap pekerja mencatatkan RM67,833 (2.3 peratus), manakala purata gaji dan upah bagi setiap pekerja adalah RM3,469, meningkat 1.2 peratus tahun ke tahun," kata Mohd Uzir.

Bagi tempoh Januari hingga Julai 2025, sektor pembuatan merekodkan jumlah jualan terkumpul sebanyak RM1.1 trilion, meningkat 3.7 peratus berbanding 4.5 peratus dalam tempoh yang sama tahun 2024.

"Bilangan pekerja meningkat sebanyak 1.1 peratus kepada 2.4 juta orang, manakala gaji dan upah meningkat 1.9 peratus kepada RM58.5 bilion. Selain itu, nilai jualan setiap pekerja sebanyak RM466,735, meningkat 2.5 peratus," katanya.

-- BERNAMA



#Jabatan Perangkaan Malaysia #Nilai jualan #sektor pembuatan #jumlah keseluruhan