MALAYSIA
Juma’ani: Pemimpin negara ucap takziah, rasai kehilangan kepada rakyat Sarawak
Ahmad Zahid diiringi Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika menziarahi Abang Johari di kediaman beliau di Kuching hari ini. - Foto Astro AWANI
KUCHING: Pemergian isteri Premier Sarawak, Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang dirasai oleh seluruh lapisan rakyat Malaysia.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar.
Ia dirasai bukan sahaja oleh keluarga terdekat dan Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg, malah oleh hseluruh rakyat Sarawak yang mengenali jasa dan keprihatinan beliau terhadap kebajikan masyarakat serta pembangunan wanita dan keluarga.
“Saya dan Toh Puan amat bersedih dengan berita pemergian Allahyarham. Kami mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat Allah SWT, diampuni segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.
Allahyarham katanya, dikenang sebagai seorang isteri pemimpin yang berhemah tinggi, berjiwa rakyat, serta banyak menyumbang kepada program-program kemasyarakatan, pendidikan dan kebudayaan di Sarawak.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkesempatan menziarahi Abang Johari dan keluarga mewakili Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, kehilangan yang dialami Abang Johari amat besar dan mendalam, apatah lagi Allahyarham merupakan insan tercinta yang telah menjadi teman hidup setia, pendamping dalam suka dan duka serta penyokong utama dalam perjalanan kepimpinannya.
“Allahyarham yang saya kenali adalah seorang wanita yang lemah lembut, penuh budi pekerti serta amat dekat dengan kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan, khususnya dalam memperkasa wanita dan komuniti di Sarawak.
“Kehilangan beliau bukan sahaja dirasai oleh keluarga terdekat, malah turut diratapi oleh seluruh rakyat Sarawak yang amat menghargai jasa dan sumbangan beliau selama ini.
“Saya mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan para solihin."
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof juga turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar bukan sahaja kepada ahli keluarga tetapi juga seluruh rakyat Sarawak.
Bagi Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Allahyarham merupakan seorang yang berkeperibadian mulia dan berjiwa rakyat.
Jenazah Juma’ani telah diurus di kediamannya di Sri Bahagia II, Jalan Tunku Abdul Rahman Ya’akub, sebelum dibawa ke Masjid Jamek yang terletak bersebelahan untuk upacara penghormatan terakhir, yang bermula jam 10 pagi.
Majlis pengebumian dijangka diadakan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam Samariang.
#Abang Johari Tun Openg
#isteri Abang Johari meninggal dunia
#Jumaani Tuanku Bujang
#Wan Junaidi Tuanku Jaafar