MALAYSIA
Jumlah kelahiran hidup catat penurunan, 93,435 bayi lahir pada suku kedua 2025 - DOSM

Jumlah kelahiran hidup di Malaysia menurun 7.1 peratus pada suku kedua 2025 kepada 93,435 kelahiran berbanding 100,558 pada tempoh sama 2024. -Gambar fail
PUTRAJAYA: Jumlah kelahiran hidup merekodkan penurunan 7.1 peratus, iaitu 93,435 kelahiran pada suku kedua 2025 berbanding 100,558 kelahiran pada tempoh sama 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam laporan Perangkaan Demografi yang dikeluarkan hari ini.
Ringkasan AI
- Jumlah kelahiran hidup di Malaysia menurun 7.1 peratus pada suku kedua 2025 kepada 93,435 kelahiran berbanding 100,558 pada tempoh sama 2024.
- Kematian juga menurun 3.0 peratus kepada 48,408 kes, dengan lelaki mencatatkan jumlah kematian lebih tinggi berbanding perempuan.
- Penduduk Malaysia dianggarkan meningkat perlahan kepada 34.2 juta, dengan pertumbuhan hanya 0.5 peratus, jauh daripada sasaran tahunan RMK13 sebanyak 1.1 peratus.
Beliau berkata Selangor merekodkan bilangan kelahiran hidup tertinggi dengan 17,605 kelahiran, manakala kelahiran hidup terendah direkodkan di Wilayah Persekutuan Labuan, iaitu 274 kelahiran.
"Ibu berumur 30 hingga 39 tahun mencatatkan kelahiran hidup tertinggi dengan 48,503 kelahiran, iaitu 51.9 peratus, diikuti ibu berumur 20 hingga 29 tahun (40.8 peratus), 40 tahun dan lebih (5.6 peratus) dan kurang daripada 20 tahun (1.6 peratus)," katanya.
Mohd Uzir berkata sebanyak 48,408 kematian direkodkan pada suku kedua 2025, menurun 3.0 peratus berbanding 49,906 kematian pada tempoh sama 2024.
"Bilangan kematian bagi lelaki ialah 27,607, manakala 20,801 kematian bagi perempuan, dan nisbah jantina bagi kematian ialah 133 lelaki bagi setiap 100 perempuan," katanya.
Seiring dengan penurunan kelahiran, beliau berkata penduduk Malaysia dianggarkan 34.2 juta berbanding 34.1 juta pada suku kedua 2024, pertumbuhan lebih perlahan, iaitu 0.5 peratus berbanding 1.9 peratus.
"Bagi mencapai pertumbuhan penduduk sebanyak 1.1 peratus seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Malaysia perlu menambah kira-kira 400,000 penduduk setiap tahun," katanya.
Mohd Uzir berkata komposisi penduduk pada suku tahun kedua terdiri 30.9 juta atau 90.1 peratus warganegara dan 3.4 juta atau 9.9 peratus bukan warganegara.
"Penduduk lelaki meningkat kepada 18.0 juta daripada 17.9 juta pada suku kedua 2024 dan penduduk wanita meningkat kepada 16.3 juta daripada 16.2 juta dalam tempoh yang sama," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami