Skip to main content

Malaysia

Jumlah kenderaan makin bertambah di Gua Musang menjelang Aidiladha

GUA MUSANG, 18 Mac -- Keadaan lalu lintas semakin sesak di Jalan Gua Musang menghala ke Kota Bharu berikutan para perantau mula pulang ke kampung halaman bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan fotoBernama hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Jumlah kenderaan mula bertambah di Gua Musang sejak tengah hari tadi. - Gambar/ Bernama

GUA MUSANG: Jumlah kenderaan mula bertambah di Gua Musang sejak tengah hari tadi susulan anak perantau pulang ke kampung halaman masing-masing bersempena dengan cuti persekolahan dan Aidiladha, minggu depan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintenden Sik Choon Foo berkata anggota polis trafik dan beberapa Unit Kereta Peronda (MPV) telah digerakkan untuk membuat pemantauan berterusan di lokasi tumpuan dan kawasan ‘bottleneck’.

"Beberapa anggota ditempatkan di lokasi 'hotspot' termasuk di pintu masuk sempadan Pahang-Kelantan, iaitu Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dan di Persiaran Raya, iaitu Jalan Gua Musang-Kuala Krai, susulan penambahan bilangan kenderaan yang memasuki daerah ini berbanding semalam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Sik berkata pihaknya juga telah melakukan penarikan trafik bagi menyuraikan kesesakan yang berlaku di Persimpangan Bendahara pada 1 tengah hari tadi.

"Penarikan dilakukan dalam tempoh 30 hingga 40 minit di laluan tersebut bagi melancarkan lalu lintas menghala ke Kuala Krai. 

"Hasil tindakan pantas pihak polis membuat penyuraian, kita telah berjaya mengawal kesesakan yang berlaku pada jarak lebih satu kilometer," katanya. 

Sik berkata keadaan trafik ketika ini kembali terkawal dan lancar termasuk di sempadan Merapoh, Pahang sebelum memasuki Kampung Mentara di sini. 

Sementara itu, tinjauan Bernama setakat 4 petang tadi mendapati aliran trafik di bandar Gua Musang, terutamanya di Jalan Persiaran Raya sehingga persimpangan lampu isyarat di Persimpangan Bendahara lancar dan tiada kesesakan berlaku meskipun bilangan kenderaan semakin bertambah.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement