KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor berkurangan kepada 3,432 orang yang berlindung di 46 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 3,737 orang, setakat 4 petang ini.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), jumlah mangsa banjir yang direkodkan di Terengganu petang ini sedikit berkurang kepada 1,990 orang daripada 534 keluarga berbanding 2,037 orang daripada 551 keluarga.

Sejumlah 26 PPS beroperasi di empat daerah di negeri itu merangkumi 11 PPS di Besut dengan 639 mangsa, enam PPS di Dungun (953 mangsa), lima PPS di Setiu (99 mangsa) dan empat PPS di Hulu Terengganu (299 mangsa).

Di Kelantan, 14 PPS direkodkan di tiga daerah melibatkan enam PPS di Kuala Krai dengan 270 mangsa, tujuh PPS di Tanah Merah (279 mangsa) dan sebuah PPS di Pasir Puteh (28 mangsa).

Situasi semasa banjir di Pahang pula mencatatkan dua PPS beroperasi di dua daerah iaitu sebuah PPS di daerah Kuantan yang menempatkan 468 mangsa dan sebuah PPS di Rompin dengan sembilan mangsa.

Di Johor, terdapat sebuah PPS baru diaktifkan di daerah Mersing yang menempatkan 167 mangsa petang ini selain tiga PPS sedia ada yang beroperasi di daerah Kota Tinggi dengan 221 mangsa direkodkan.

Tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran, NADMA mendapati beberapa sungai berada pada paras bahaya di Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis, Sabah, Selangor dan Terengganu.

Antara sungai terlibat ialah Sungai Johor di daerah Kota Tinggi; Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah); Sungai Golok di Pasir Mas (Kelantan); Sungai Rompin (Pahang); Sungai Arau (Perlis); Sungai Kinabatangan (Sabah); Sungai Klang di Petaling (Selangor); dan Sungai Dungun (Terengganu).

NADMA turut memaklumkan 39 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak serta jalan dan cerun runtuh antaranya di Jalan Durian Mentangau di Dungun, Terengganu; Jalan Sungai Lembing di Kuantan, Pahang; dan Jalan Johor Bahru-Endau di Kota Tinggi, Johor.

-- BERNAMA