MALAYSIA

Jumlah mangsa banjir di Kedah sedikit berkurang, kekal di Perak

Bernama 06/10/2025 | 02:00 MYT
Sebanyak 164 orang daripada 51 keluarga di Kedah ditempatkan di dua PPS setakat 8 pagi ini. - Foto fail/APM
KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Kedah menunjukkan sedikit pemulihan pagi ini dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurang, manakala 26 mangsa di Perak masih belum dibenarkan pulang ke rumah.

Di KEDAH, sebanyak 164 orang daripada 51 keluarga ditempatkan di dua PPS setakat 8 pagi ini, berbanding 169 orang daripada 52 keluarga, malam tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata seramai 109 orang daripada 33 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar dan mereka adalah dari Mukim Langgar/Limbong.

"PPS Dewan Serbaguna Pokok Sena pula menempatkan 55 orang daripada 18 keluarga dari Mukim Gajah Mati dan Mukim Lesong," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata paras air Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, Kota Setar mencatat bacaan 1.62 meter berbanding paras berjaga-jaga 1.5 meter.

Sementara itu, di PERAK, sebanyak 26 orang daripada tujuh keluarga masih ditempatkan di PPS SK Matang di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS).

"Kesemua mangsa berada di PPS tersebut sejak 3 Okt lepas berikutan banjir yang melanda Kampung Matang Jambu dan Kampung Telok Kertang," menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan pada sebelah petang di hampir semua daerah di negeri itu hari ini, manakala daerah Kinta dijangka mengalami hujan dari pagi hingga malam.

-- BERNAMA






#banjir #mangsa #PPS #paras air sungai