ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di Kedah terus menurun kepada 500 orang daripada 132 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 616 orang daripada 159 keluarga, petang semalam.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata lima pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di daerah Kota Setar.

Beliau berkata 249 orang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Darul Hikmah, SK Convent, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent dan SMK Simpang Kuala.

"PPS di SK Suka Menanti yang dibuka pada 1 Nov lepas masih dibuka walaupun kesemua mangsa telah dibenarkan pulang semalam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Muaz berkata 251 orang pula masih berlindung di PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah dan Dewan Cenderawasih di daerah Pendang.

Sementara itu, di PERAK, 20 mangsa dipindahkan ke PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan setakat 7 pagi tadi berikutan fenomena air pasang besar.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata kesemua mangsa adalah dari Lorong Kedah, Lorong Sidang Osman, Kampung Batu 9, Changkat Jong dan Kampung Baru Batu 8.

-- BERNAMA