Jumlah mangsa banjir di Kelantan, Terengganu kekal pagi ini

Bernama
November 30, 2023 02:20 MYT
Di Terengganu, 22 mangsa daripada lima keluarga masih berada di PPS SK Atas Tol di daerah Kuala Terengganu. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Situasi dan jumlah mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu tidak mengalami perubahan setakat 8 pagi ini berbanding malam tadi.
Di KELANTAN, jumlah mangsa kekal 317 orang daripada 101 keluarga dengan kesemua mangsa kini sedang berlindung di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di jajahan Pasir Mas dan Bachok.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), di jajahan Pasir Mas sebanyak 231 mangsa daripada 79 keluarga berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh.
Sementara di jajahan Bachok, 58 mangsa daripada 14 keluarga berlindung di Sekolah Menengah Kebangsaan Beris Panchor manakala PPS SK Jelawat menempatkan 28 mangsa daripada lapan keluarga.
Di TERENGGANU, 22 mangsa daripada lima keluarga masih berada di PPS SK Atas Tol di daerah Kuala Terengganu.
Menurut sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, mangsa tidak dapat pulang ke rumah masing-masing disebabkan air bertakung berpunca daripada masalah perparitan dan kawasan tanah rendah.
-- BERNAMA
#banjir #mangsa banjir #PPS #Jabatan Kebajikan Masyarakat