Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat kepada 304 menjelang tengah malam

Abd Razak Mohd Ali 23/11/2025 | 22:40 MYT
Bilangan mangsa dijangka terus meningkat apabila lapan lagi PPS dibuka menjelang tengah malam, masing-masing dua di Perak Tengah dan enam di Manjung. - Foto APM
IPOH: Mangsa banjir di tiga daerah di Perak meningkat kepada 304 orang daripada 102 keluarga menjelang tengah malam tadi, berbanding 267 orang daripada 86 keluarga pada jam 10 malam.


Ringkasan AI
  • Mangsa banjir di Perak meningkat kepada 304 orang daripada 102 keluarga menjelang tengah malam, dengan Daerah Perak Tengah paling terkesan.
  • Pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di beberapa tempat termasuk SK Simpang Tiga dan SK Layang-Layang Kiri di Parit, serta PPS di Manjung dan Batang Padang.
  • Ramalan cuaca MetMalaysia menunjukkan hujan sangat lebat berterusan di beberapa daerah termasuk Kerian, Larut Matang Selama, Manjung, Hulu Perak, dan Kuala Kangsar sehingga esok.


Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, Daerah Perak Tengah paling terkesan dengan 260 mangsa dari 84 keluarga, diikuti Manjung yang mencatatkan 29 mangsa dari 13 keluarga dan Batang Padang dengan 15 mangsa daripada lima keluarga.

Katanya, pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Tiga, Parit yang dibuka jam 7.15 malam tadi menempatkan 252 orang daripada 81 keluarga dan di SK Layang-Layang Kiri, juga di Parit yang dibuka jam 8.30 malam, menempatkan lapan mangsa daripada tiga keluarga.

Menurutnya, PPS Dewan Orang Ramai Kampung Banjar, Manjung yang dibuka jam 9.30 malam menempatkan 27 mangsa dari 12 keluarga, sementara PPS Kampung Batu 4 Segari yang dibuka jam 10.30 malam menempatkan dua mangsa dari sebuah keluarga.

Di Batang Padang pula, PPS Dewan Serbaguna Kampung Klah Baru yang dibuka jam 8.10 malam menempatkan 15 mangsa dari lima keluarga.

Bagaimanapun, menurut sekretariat itu, bilangan mangsa dijangka terus meningkat apabila lapan lagi PPS dibuka menjelang tengah malam, masing-masing dua di Perak Tengah dan enam di Manjung.

Sementara itu, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di daerah Kerian; Larut Matang Selama dan Manjung sehingga esok.

Selain itu, MetMalaysia turut menjangkakan hujan lebat berterusan akan berlaku di Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim, juga sehingga esok.

Dalam pada itu, menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak, paras air Sungai Bidor di Changkat Jong, Teluk Intan telah mencecah 3.93 meter, melebih paras bahaya 3.5 meter.








#banjir #PPS #MetMalaysia #hujan lebat