Jumlah mangsa banjir di Sarawak kekal

Bernama
Oktober 13, 2022 01:50 MYT
Banjir di Sarawak sejak tiga hari lalu melibatkan beberapa tempat di Kanowit, Baram dan Kapit. - Foto Facebook Tuan Ibrahim Tuan Man
KUCHING: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak kekal 33 orang.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan setakat pagi ini, dua PPS masih dibuka melibatkan daerah Subis di bahagian Miri.
"Lima mangsa daripada dua keluarga berlindung di PPS Dewan Masyarakat Sepupok Niah manakala 28 mangsa daripada lapan keluarga berada di PPS Dewan Masyarakat Bekenu," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, sebuah PPS di Kapit iaitu Asrama Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) yang dibuka pada 9 Okt lepas telah ditutup pada 11 Okt.
-- BERNAMA
#PPS #Miri #banjir Sarawak #Angkatan Pertahanan Awam Malaysia