KUALA LUMPUR: Tiada sebarang perubahan jumlah mangsa banjir yang berlindung di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri terjejas banjir, apabila jumlah itu kekal 280 orang setakat jam 8 malam ini.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) daripada jumlah tersebut, seramai 80 mangsa daripada 22 keluarga di Johor berlindung di tiga PPS, yang merangkumi 65 mangsa daripada 19 keluarga di dua PPS di Segamat dan 15 mangsa daripada tiga keluarga di sebuah PPS di Batu Pahat.

Dalam pada itu, di Pahang mencatatkan 101 mangsa daripada 34 keluarga kekal ditempatkan di sebuah PPS di Rompin, manakala 99 mangsa daripada 42 keluarga berada di dua PPS di Beluran, Sabah.

Selain itu, tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati, bilangan sungai berada pada paras bahaya kekal tujuh melibatkan lima buah negeri.

Sungai yang terlibat ialah Sungai Muar, Segamat dan Sungai Johor, Kota Tinggi di Johor, Sungai Kedah, Kota Setar (Kedah), Sungai Arau (Perlis), Sungai Klang, Klang (Selangor) Sungai Terengganu, Kuala Terengganu (Terengganu).

Nadma turut memaklumkan terdapat 17 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh, antaranya Jalan Durian Mentangau di Dungun, Terengganu; Jalan Sungai Tiang di Baling, Kedah; dan Jalan Petri Jaya di Kota Tinggi, Johor.

Menurut kenyataan itu jumlah mangsa kebakaran yang masih berlindung di sebuah PPS di Kuching, Sarawak kekal 38 orang daripada 12 keluarga setakat jam 8 malam ini.

-- BERNAMA