MALAYSIA

Jumlah mangsa banjir Sarawak menurun sedikit pagi ini

Bernama 15/01/2026 | 02:00 MYT
Empat PPS masih beroperasi di Bahagian Sibu dan Bintulu. - Gambar hiasan/BERNAMA
SIBU: Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak pagi ini menurun kepada 611 orang daripada 194 keluarga berbanding 622 orang petang semalam, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

Empat PPS masih beroperasi di Bahagian Sibu dan Bintulu.

Di Sibu, hanya PPS SMK Bukit Assek menempatkan enam mangsa daripada satu keluarga. Di Bintulu, PPS Dewan Suarah menempatkan 278 mangsa (85 keluarga), manakala di Sebauh, PPS Balai Raya menempatkan 150 mangsa (54 keluarga) dan PPS Dewan Sri Kemena SMK Sebauh menempatkan 177 mangsa (54 keluarga).

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal Public Infobanjir melaporkan paras air di empat stesen iaitu Long Teru (Miri), Sungai Sibiu (Bintulu), Nanga Lemai B dan Stapang B (Sibu) masih melebihi paras bahaya, manakala lima stesen lain berada pada paras amaran.

-- BERNAMA





#banjir #PPS #mangsa #JPBN