MALAYSIA

Jumlah panggilan kecemasan palsu diterima bomba catat peningkatan

Bernama 30/01/2026 | 08:00 MYT
Nor Hisham berkata sebanyak 141 panggilan palsu direkodkan pada 2023, meningkat kepada 196 panggilan pada 2024 seterusnya kepada 255 panggilan pada tahun lepas. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan ketara jumlah panggilan kecemasan palsu yang diterima sejak tiga tahun kebelakangan ini kerana ia bukan sahaja melibatkan pembaziran sumber, malah boleh menjejaskan keberkesanan operasi menyelamat.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata sebanyak 141 panggilan palsu direkodkan pada 2023, meningkat kepada 196 panggilan pada 2024 seterusnya kepada 255 panggilan pada tahun lepas.

"Setiap panggilan yang diterima, kami akan memberi respons sebaiknya dan ada terjadi bila anggota sudah separuh jalan untuk ke lokasi kejadian, baru pemanggil itu beritahu itu hanya panggilan palsu, dan ada juga kes apabila anggota tiba di lokasi, kejadian yang didakwa itu tidak berlaku pun.

"Perkara ini mendatangkan kerugian dari segi masa, logistik dan kewangan, tetapi yang paling kita khuatir ialah semasa kita pergi ke kawasan yang disebabkan panggilan palsu, kita buka lompang perlindungan apabila jentera dan anggota digerakkan ke lokasi yang jauh dari kawasan liputan utama," katanya kepada media selepas Majlis Perbarisan Tahunan 2026 JBPM di sini hari ini.

Nor Hisham berkata situasi itu menyebabkan kawasan berhampiran balai bomba berada tanpa perlindungan, dan sekiranya berlaku kecemasan sebenar, bantuan terpaksa diperoleh daripada balai lain, sekali gus mengganggu keberkesanan tindak balas kecemasan.

Beliau berkata JBPM akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Komunikasi bagi mencari penyelesaian berkesan untuk mengurangkan jumlah panggilan palsu.

Selain itu, sebagai langkah mitigasi, beliau berkata JBPM memberi penekanan kepada komunikasi awal yang lebih berkesan antara pegawai bilik kawalan dan pemanggil bagi mendapatkan maklumat terperinci sebelum respons penuh digerakkan.

"Dalam keadaan tertentu, pegawai akan membuat pertimbangan wajar sama ada perlu menggerakkan jentera atau menghantar pegawai penilai terlebih dahulu.

"Cara komunikasi di bilik kawalan amat penting kerana apa yang dianggap remeh oleh sesetengah pihak mungkin merupakan kecemasan sebenar bagi orang lain," katanya.

-- BERNAMA



#JBPM #bomba #panggilan kecemasan #Nor Hisham Mohammad