Jumpa mayat bawah kereta, tiga lelaki disiasat

Sinar Harian
Jun 8, 2018 14:27 MYT
Polis menahan tiga lelaki bagi bantu siasatan berhubung kes kematian seorang wanita warga Indonesia yang ditemui di bawah kereta jenis Myvi berhampiran Pantai Klebang, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, polis dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pegawai Kastam yang membuat rondaan selepas mereka mendapati sebuah kereta tersadai di kawasan tambakan pasir di kawasan terbabit.
Beliau berkata, mayat wanita dikenali sebagai Yuliana berusia 40 tahun itu ditemukan dalam keadaan tersembam di atas pasir.
Katanya, hasil bedah siasat mendapati wanita berkenaan dipercayai mati akibat lemas selain tikaman pada leher.
“Mangsa dipercayai ditikam di lokasi lain sebelum dibawa ke kawasan itu dalam keadaan hidup dan kemudiannya lemas akibat terhempap di bawah kereta.
“Berdasarkan nombor kenderaan terbabit ia adalah milik suami mangsa iaitu seorang lelaki tempatan yang telah diminta tampil untuk membantu siasatan sebelum ditahan pada hari sama kira-kira jam 4 petang,” katanya kepada Sinar Harian.
Afzanizar berkata, pada hari sama polis turut menahan seorang lelaki berusia 48 tahun kira-kira jam 8 malam.
Katanya, siasatan awal mendapati lelaki tersebut yang menjalankan perniagaan kereta sewa di negeri ini merupakan kenalan mangsa dan turut dipercayai mempunyai hubungan cinta.
“Mangsa juga sering menyewa kenderaan suspek dan motif awal kes ini dipercayai kerana cemburu berikutan si mati mahu memutuskan hubungan dengan suspek.
“Seorang lelaki berusia 43 tahun berasal dari Kuala Lumpur yang juga kawan suspek turut ditahan semalam di Bukit Beruang kira-kira jam 12.30 tengah hari dipercayai terlibat dalam kes itu,” katanya.
Beliau berkata, suspek serta suami mangsa direman hingga 7 dan 10 Jun ini manakala rakan suspek dibawa ke mahkamah hari ini untuk mendapatkan perintah reman.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
#Afzanizar Ahmad #kes kematian #Melaka Tengah #Myvi #Pantai Klebang #Seksyen 302 Kanun Keseksaan #wanita #warga Indonesia #Yuliana