MALAYSIA

‘Jumpa nanti’ - Adam Adli setuju berdialog dengan Liga Mahasiswa Malaysia

Astro Awani 19/01/2026 | 10:42 MYT
"Sudah dalam perencanaan untuk buka ruang luas kepada mahasiswa," kata Adam Adli kepada Liga Mahasiswa Malaysia. - Gambar IG Adam Adli
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Adam Adli Abdul Halim bersetuju menerima jemputan Liga Mahasiswa Malaysia (LMM) untuk mengadakan dialog terbuka.

Menurutnya, perkara itu sudah dirancang sejak hari pertama beliau bertugas dalam Kabinet Madani, dengan tujuan mewujudkan platform yang memberi kuasa kepada mahasiswa melaksanakan proses semak dan imbang.

“Setuju dan tidak perlu khuatir; perkara ini sudah dalam perencanaan bagi membuka ruang yang lebih luas kepada mahasiswa,” kata Adam, dalam ruangan komen pada jemputan kenyataan media di Instagram rasmi Liga Mahasiswa Malaysia.

Mahasiswa harus memainkan peranan tanpa mengira latar belakang dan kecenderungan (ideologi), serta tidak hanya terhad kepada penyertaan dalam sesi town hall atau dialog semata-mata, tambahnya.

Sebaliknya, mereka wajar dilibatkan secara langsung dalam proses serta pembentukan dasar berkaitan sistem pendidikan tinggi dan perubahan pada masa hadapan.


Terdahulu, persatuan pelajar itu mencabar Adam Adli supaya mengadakan dialog terbuka di kampus universiti bersama mahasiswa.

LMM turut berpendapat latar belakang Adam Adli selaku bekas aktivis mahasiswa mempunyai tanggungjawab moral untuk berbincang dengan aktivis masa kini.

Antara isu-isu yang dijangka akan dibincangkan ialah kos sara hidup, kebajikan mahasiswa, dasar-dasar universiti, pemansuhan AUKU dan Deklarasi Mahasiswa 2025.

Presiden LLM, Alyaah Hani Anuar ketika dihubungi Astro AWANI hari ini berkata, antara lain dialog ini bertujuan untuk mendengar sendiri visi beliau selaku Timbalan Menteri KPT.

Tarikh dialog berkenaan akan dimaklumkan kelak dan dijangka akan diadakan di Universiti Malaya atau Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, ujar Alyaah.






#Adam Adli Abdul Halim #Liga Mahasiswa Malaysia #kebebasan akademik #demokrasi suara