MALAYSIA

Jurang ekonomi rakyat meluas jika isu gaji, pengangguran tidak diatasi - Khairil Nizam

Pia Ernadya 26/01/2026 | 22:50 MYT
Khairil Nizam turut mempersoalkan pelaksanaan gaji minimum RM1,700 yang dilihat tidak mencukupi ekoran harga barang yang kian mahal. - Gambar fail/Facebook Khairil Nizam
KUALA LUMPUR: Jurang antara prestasi ekonomi makro dan kehidupan sebenar rakyat akan semakin melebar jika isu pengganguran belia, ketidaksepadanan pekerjaan,gaji statik dan kos hidup tidak ditangani segera, menurut Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin.

Beliau turut menyifatkan situasi ini sebagai cabaran sebenar ekonomi rakyat yang memerlukan dasar lebih berani dan bersasar.

"Dalam membicarakan ekonomi rakyat, kita perlu membezakan antara kekuatan ekonomi di atas kertas dan realiti yang dirasai oleh rakyat.

"Prestasi makro yang baik tidak semestinya bermaksud kehidupan rakyat semakin mudah.

"Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan kadar pengangguran negara menurun kepada 2.9 peratus pada November 2025. Ini adalah pencapaian yang wajar diiktiraf.

"Namun, angka ini tidak mencerminkan keseluruhan realiti pasaran kerja," katanya semasa perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja Yang Dipertuan Agong di Dewan Rakyat semalam.

Khairil Nizam berkata, walaupun kadar pengangguran keseluruhan menurun, pengangguran anak muda kekal tinggi, iaitu lebih tiga kali ganda (10.1-10.3 peratus) berbanding purata nasional.

Ini jelas menunjukkan manfaat pertumbuhan ekonomi tidak dinikmati secara seimbang oleh golongan belia, katanya.

"Lebih membimbangkan ialah isu ketidakpadanan pekerjaan. Sebanyak 1.95 juta pekerja atau 36.8% daripada tenaga kerja, bekerja dalam bidang yang tidak selari dengan tahap pendidikan mereka," tambahnya.

Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan pelaksanaan gaji minimum RM1,700 yang dilihat tidak mencukupi ekoran harga barang yang kian mahal.

Menurutnya, mutakhir ini, semakin ramai berada dalam kategori working poor iaitu bekerja sepenuh masa tetapi tetap terhimpit.

"Soalan saya, apakah perancangan kerajaan untuk menyelesaikan isu-isu seperti ini termasuklah isu pemilikan rumah kepada golongan M40?.

"Sanggupkah kerajaan untuk membuat political will bagi memastikan anak-anak muda dalam negara kita ni mendapat rumah mampu milik, bukan sekadar rumah mampu dilihat?

"Isu ini paling ketara dalam pemilikan rumah, khususnya golongan M40. Mereka ini terperangkap. Tidak layak rumah kos rendah, tetapi tidak mampu membeli rumah pasaran," tambah Khairil Nizam.






#pertumbuhan ekonomi Malaysia #gaji minimum #Khairil Nizam Khirudin #Dewan Rakyat