DUNIA
Jurang jantina global mengecil, capai kesamarataan lagi 100 tahun - WEF

Antara dapatan Laporan Jurang Jantina Global Edisi ke-19 oleh WEF ialah, wanita 55.2 peratus lebih cenderung berbanding lelaki untuk mengambil cuti kerjaya dan sering beralih industri.
KUALA LUMPUR: Jurang jantina global kini berada pada 68.8 peratus, tahap tertinggi sejak pandemik COVID-19, menurut Laporan Jurang Jantina Global Edisi ke-19 oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF).
Walaupun jurang tersebut makin mengecil dan menunjukkan trend positif, namun laporan itu turut mendedahkan bahawa kesamarataan penuh antara lelaki dan wanita dijangka hanya akan tercapai dalam tempoh 123 tahun.
Laporan yang merangkumi 148 ekonomi ini mendapati wanita masih berdepan halangan struktur dalam bidang pekerjaan dan politik walaupun terdapat kemajuan sederhana.
Wanita mewakili 41.2 peratus tenaga kerja global tetapi hanya memegang 28.8 peratus jawatan kepimpinan kanan.Pemberdayaan politik mencatat kemajuan paling ketara sejak 2006, dengan jurang mengecil sebanyak sembilan mata peratusan.
Namun, ia hanya mewakili 22.9 peratus, menjadikannya halangan terbesar ke arah kesamarataan secara menyeluruh.
Iceland menduduki tangga teratas selama 16 tahun berturut-turut, dengan mencapai 92.6 peratus kesamarataan.
Finland, Norway, United Kingdom dan New Zealand turut berada dalam lima teratas, dengan semua negara dalam kelompok 10 terbaik menutup lebih 80 peratus jurang mereka.

Dari segi wilayah dan rantau, Amerika Utara mendahului dengan skor kesamarataan 75.8 peratus, diikuti Eropah pada 75.1 peratus.
Amerika Latin dan Caribbean mencatat kemajuan terpantas, meningkat 8.6 mata peratusan sejak 2006.
Asia Timur dan Pasifik berada di tempat kelima, dengan New Zealand, Australia dan Filipina sebagai negara berprestasi terbaik.

Laporan itu turut menyatakan bahawa wanita 55.2 peratus lebih cenderung berbanding lelaki untuk mengambil cuti kerjaya dan sering beralih industri.
Walaupun ini menunjukkan kebolehsuaian, ia juga mencerminkan cabaran struktur yang berterusan.
WEF memberi amaran bahawa perubahan teknologi dan ketegangan geopolitik boleh menjejaskan kemajuan yang dicapai, terutamanya dalam penyertaan ekonomi.
Laporan itu juga menekankan bahawa dasar awam, bukan semata-mata tahap pendapatan, adalah pemacu utama ke arah kesamarataan jantina.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami