KUALA LUMPUR: Jurang pasaran buruh ketika ini akan lebih melebar jika pekerja tidak terlatih dengan aplikasi teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

Pengarah Program EDUKO, Mohammad Rafiq Shahmie Mohd Suhaimi berkata pekerja akan berdepan situasi lebih sukar untuk mencari pekerjaan pada masa akan datang.

“Jika kita tidak tahu (menggunakan AI) jurang pasaran buruh itu akan meningkat. Sekarang pun orang sukar untuk mendapat pekerjaan sehingga terpaksa menunggu tiga hingga empat bulan.

“Pada masa depan, jika tidak tahu AI maka akan lebih sukar untuk mencari kerja. Pendekatan yang terbaik ialah pendedahan mengenai cara terbaik dan betul untuk memanfaatkan AI,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Anak Muda pada Jumaat.

Namun, menurut Mohammad Rafiq kebimbangan mengenai pendedahan kepada AI ini tidak begitu ketara memandangkan program berkaitan sains komputer sudah popular dalam kalangan orang awam.

Cabaran untuk mendemokrasikan AI merupakan tantangan global. Perkara ini disahkan melalui laporan yang diterbitkan oleh AI Governance Alliance (AIGA) yang menekankan aspek pendidikan dan pembangunan kepakaran tempatan untuk mencipta dan mengemudi ekosistem AI tempatan dengan berkesan.

Tambah Mohammad Rafiq sekiranya usaha ini berjaya, maka impian untuk memposisikan tenaga kerja Malaysia sebagai satu peratus terbaik di dunia bukanlah suatu yang mustahil.

Jurang pasaran buruh lebih melebar jika pekerja tidak terlatih dengan AI - Pengarah EDUKO