Juruaudit, ketua integriti ditempatkan di semua kementerian - Abdul Rahman

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata isu integriti sentiasa dibincangkan dalam mesyuarat pasca-Kabinet bagi memastikan tadbir urus yang baik terus menjadi keutamaan dalam pentadbiran negara. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan memandang serius isu integriti dalam kalangan penjawat awam dan telah mengambil langkah proaktif dengan menempatkan juruaudit serta ketua integriti di setiap kementerian bagi memantau dan menilai prestasi petugas.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata isu integriti sentiasa dibincangkan dalam mesyuarat pasca-Kabinet bagi memastikan tadbir urus yang baik terus menjadi keutamaan dalam pentadbiran negara.
"Sebab itu di setiap kementerian kita mempunyai juruaudit dan juga ketua integriti yang menilai penjawat-penjawat awam di setiap kementerian.
"Dan saya percaya dengan apa yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri sendiri berkaitan dengan tatakelola menunjukkan bahawa integriti ini satu kepentingan kepada kita," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Kongres Tritahunan CUEPACS di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini, yang turut dihadiri Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Dr Adnan Mat.
Mengulas tentang peranan kesatuan itu, Abdul Rahman menyifatkan CUEPACS sebagai sebuah jambatan penting yang menghubungkan penjawat awam dengan kerajaan.
"Saya dapati bahawa CUEPACS adalah antara nadi penggerak kepada penjawat awam dan mempunyai sifat yang sangat fleksibel dengan menyeimbangkan tuntutan dengan kehendak kerajaan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


