[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Jurubahasa rugi lebih RM500,000 akibat pelaburan mata wang kripto tidak wujud

Bernama 19/09/2025 | 07:15 MYT
Mangsa membuat laporan polis semalam, selepas sedar ditipu kerana diarahkan membuat pinjaman bank untuk menambah jumlah pelaburan. - Gambar hiasan
IPOH: Seorang jurubahasa persendirian kerugian RM572,130 selepas terperdaya skim pelaburan mata wang kripto tidak wujud secara dalam talian, bulan lepas.


Ringkasan AI
  • Seorang jurubahasa persendirian berusia 40-an kerugian RM572,130 selepas terpedaya dengan skim pelaburan mata wang kripto tidak wujud yang diperkenalkan oleh seorang warga China melalui Instagram dan WhatsApp.
  • Mangsa mula melabur RM8,740 dan menggandakan pelaburan melalui 12 transaksi ke sembilan akaun antara 26 Ogos hingga 5 September, sebelum menyedari penipuan apabila diarahkan membuat pinjaman bank untuk menambah pelaburan.
  • Polis menerima laporan pada 18 September dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan menipu.


Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Nasir Ismail berkata wanita berusia 40-an mengetahui skim itu daripada seorang warga China yang dikenali pada 10 Ogos menerusi Instagram sebelum berhubung menggunakan WhatsApp.

"Suspek memaklumkan ada melabur dalam mata wang kripto dengan pulangan 20 peratus dan menghantar pautan berkaitan serta mengajar mangsa untuk menyertai pelaburan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Nasir berkata mangsa mula melabur RM8,740 pada 22 Ogos dan mendapat pulangan sebelum menggandakan pelaburan menerusi 12 transaksi pemindahan wang dalam talian ke sembilan akaun dari 26 Ogos hingga 5 Sept.

Mangsa membuat laporan polis pada 4.19 petang semalam, selepas sedar ditipu kerana diarahkan membuat pinjaman bank untuk menambah jumlah pelaburan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


#penipuan dalam talian #skim pelaburan kripto #media sosial #golongan profesional