NATIONAL
Juruelektrik dipenjara enam hari, denda RM3,500 perdaya individu tak lapor ubah suai meter TNB
Juruelektrik S. Thiagarajan dijatuhkan hukuman penjara enam hari dan denda RM3,500 oleh Mahkamah Sesyen di Shah Alam hari ini. - Foto Bernama
SHAH ALAM: Seorang juruelektrik dijatuhkan hukuman penjara enam hari dan denda RM3,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memperdaya seorang lelaki untuk tidak melaporkan pengubahsuaian meter elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu selepas S Thiagarajan, 40, mengaku bersalah atas satu pertuduhan pilihan dan memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap serta penjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Lelaki itu didakwa memperdaya seorang pemilik premis makanan untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM1,720 sebagai balasan untuk tidak melaporkan kepada pihak TNB berkenaan pengubahsuaian meter elektrik yang dilakukan di premis tersebut.
Kesalahan itu dilakukan di Puchong pada 20 Mac lepas mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana perlu menanggung empat anak yang masih kecil selain pendapatan keluarga yang tidak menentu.
"Saya memohon maaf kepada mahkamah dan akui kesalahan saya...sebelum dituduh saya telah direman selama enam hari dan ia pengalaman yang menginsafkan, saya tak boleh jumpa anak dan isteri," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Asmaa' Zamri memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman berbentuk pencegahan mengambil kira keseriusan kes.
-- BERNAMA