MALAYSIA

Juruelektrik tidak mengaku cabul anak saudara 11 tahun

Abd Razak Mohd Ali 07/10/2025 | 03:50 MYT
Juruelektrik dibawa keluar Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa selepas mengaku tidak bersalah cabul anak saudara 11 tahun. - Astro AWANI
IPOH: Seorang juruelektrik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual terhadap anak saudara perempuannya yang berusia 11 tahun, pada Ogos lalu.


Ringkasan AI
  • Tertuduh berusia 47 tahun mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 11 tahun di Bota Kanan, Perak Tengah.
  • Jaminan RM8,000 dibenarkan dengan syarat tertuduh tidak boleh mendekati mangsa atau saksi serta perlu melapor diri di balai polis setiap bulan.
  • Mahkamah menetapkan 11 November sebagai tarikh sebutan semula bagi laporan perubatan dan lantikan peguam.


Tertuduh yang berumur 47 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Mengikut pertuduhan, bapa dua orang anak itu didakwa telah melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual terhadap anak saudaranya yang berusia 11 tahun dua bulan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Bota Kanan dalam Daerah Perak Tengah, sekitar jam 8 pagi, 31 Ogos 2025.

Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dibaca bersama Seksyen 16 akta yang sama.

Seksyen 14(a) memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga disebat manakala Seksyen 16 memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 5 tahun dan hendaklah disebat tidak kurang dua sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin menawarkan jaminan RM20,000 dengan beberapa syarat tambahan.

Tertuduh yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Farhan Ahmad Fadzil memohon jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga, berpendapatan RM1,800 sebulan serta perlu menyara isteri dan dua anak masing-masing berusia 13 dan 10 tahun.

Mahkamah turut dimaklumkan bahawa mangsa kini tinggal bersama ibu kandungnya dan tidak lagi menetap di rumah tertuduh.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin di samping syarat tambahan tidak boleh menghubungi, mengganggu dan mendekati mangsa serta saksi selain melapor diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan.

Mahkamah turut menetapkan 11 November depan sebagai tarikh sebutan semula untuk laporan perubatan dan lantikan peguam.






#amang seksual #anak saudara #Kanak-kanak #juruelektrik