Ikuti perkembangan Banjir Aceh dan Sumatera di sini
MALAYSIA

Juruelektrik warga Myanmar mengaku salah bunuh kanak-kanak senegara

Bernama 10/12/2025 | 10:23 MYT
Lelaki itu didakwa membunuh kanak-kanak warga Myanmar itu di sebuah rumah di Jalan Pasar Baru di ibu negara, antara 11 pagi hingga 12.25 tengah hari, 14 April 2024. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang juruelektrik warga Myanmar mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun pada April tahun lepas.

Hrang Tling Thang, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Burma di hadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh kanak-kanak warga Myanmar itu di sebuah rumah di Jalan Pasar Baru di sini, antara 11 pagi hingga 12.25 tengah hari, 14 April 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun hingga maksimum 40 tahun. Jika hukuman mati tidak dijatuhkan, tertuduh juga boleh disebat sekurang-kurangnya 12 kali.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah memohon tarikh sebutan baharu untuk fakta dan hukuman terhadap tertuduh yang tidak diwakili oleh peguam pada prosiding hari ini.

Hakim Azhar menetapkan 13 Feb tahun depan untuk fakta dan hukuman serta lantikan peguam tertuduh.

-- BERNAMA








#juruelektrik #warga myanmar #mengaku bunuh #kanak-kanak lelaki